KUCHING - Pengambilan sejumlah 18,000 guru secara 'one-off' bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Johor, Sabah dan Sarawak kini masih di peringkat temu duga calon, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata, dengan pengambilan itu nanti, masalah kekurangan guru yang berlanjutan sejak beberapa tahun lalu akan dapat diselesaikan.
Iklan
Iklan
"KPM akan memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dahulu. Selain dua negeri ini, Johor juga mengalami masalah kekurangan guru,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Matang Jaya, di sini pada Isnin.
Pada sidang Dewan Rakyat minggu lepas, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan, berdasarkan data KPM sehingga 19 September menunjukkan terdapat 21,564 kekosongan guru di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Dr Norisah Suhaili berkata, daripada sejumlah 39,000 guru di negeri ini, kurang daripada satu peratus yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19.
"Memang ada guru yang dilaporkan masih tidak mahu menerima vaksin atas alasan kesihatan dan agama, selain ada yang masih tidak bersedia. Pihak KPM akan memanggil serta bersemuka dengan mana-mana guru yang masih enggan menerima vaksin,” tambahnya. - Bernama