Masjid Batu simpan khazanah warisan mimbar usia 105 tahun

Iklan
Masjid Batu di Kuala Kurau mempunyai seni ukiran mimbar yang unik dengan ketinggian lima meter dan lebar satu meter. - Foto Bernama

PARIT BUNTAR - Kajian mendapati Masjid Batu di Kuala Kurau di sini menyimpan khazanah warisan bernilai sejarah iaitu sebuah mimbar berusia 105 tahun yang masih utuh dan tersergam indah.

Lebih menarik, pembinaan mimbar yang mencecah ketinggian lima meter dan lebar mencecah dua meter itu tidak menggunakan sebarang paku logam sebaliknya ia menggunakan kaedah pasak, tanggam dan baji.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Harleny Abd Arif berkata, mimbar yang diperbuat daripada jenis kayu seraya atau meranti merah itu menampilkan teknik ukiran Tebuk Tembus Bersilat, Tebuk Timbul Bersilat dan teknik ukiran Layang.

"Nama pengukir, Muhammad Saad Bin Wan Ngah tertera pada sisi kanan dinding mimbar iaitu berdasarkan terjemahan inskripsi dalam aksara Arab, diikuti hari dan tarikh lengkap pembuatan mimbar iaitu Jumaat 27 Ramadan tahun 1334 Hijrah Bersamaan 27 Julai 1916 Masihi,” katanya kepada Bernama, yang tidak menolak kemungkinan pengukir mimbar itu datang berhijrah dari Jawa Tengah ke Tanah Melayu.

Iklan

Katanya, mimbar itu mempunyai keunikan tersendiri kerana motif ukiran berunsur tumbuhan, bunga bakawali menjadi pilihan pengukir yang diukir dalam skala besar di puncak panel gunungan mimbar tersebut.

Harleny berkata, jika mimbar Masjid Kariah Nerasau mempunyai inskripsi paling lengkap dengan tarikh, nama masjid, nama pengasas serta nama penuh dan asal pengukir, berbeza pula dengan mimbar Masjid Batu yang diklasifikasikan mempunyai inskripsi terpanjang kerana terdapat catatan pada bahagian gunungan dan di kedua-dua bahagian dinding mimbar.

Iklan

Selain itu, katanya, terdapat inskripsi yang tertera pada bahagian kanan panel gunungan mimbar Masjid Batu dalam aksara tulisan Jawi dan Arab yang bermaksud ‘Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh, Hasan, Husain, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para sekalian sahabat’.

"Pada bahagian kiri panel gunungan pula adalah inskripsi yang diukir secara bertimbal balik berdasarkan terjemahan inskripsi pada bahagian kanan panel gunungan mimbar,” katanya yang telah dua bulan menjalankan kajian mimbar Masjid Batu.

Tambahnya, pada sisi kiri dinding mimbar pula adalah inskripsi bahasa Melayu dalam aksara Jawi berdasarkan terjemahan pada sisi kanan dinding mimbar.

Harleny berkata, reka bentuk mimbar itu yang bagaikan sebuah gerbang istana dengan empat batang tiang kayu buton di kedua-dua sisi kaki mimbar diperindahkan dengan ragam hias, sarat dengan stailisasi motif bunga ketumbit dan bunga teratai, menyerlahkan keunikan seni ukiran mimbar tersebut.

"Keberadaan mimbar yang kini masih tersergam di ruang dalam Masjid Batu ini wajar dipulihara agar usaha ke arah pelestarian mimbar yang masih gah berdiri sehingga ke hari ini dapat diwartakan sebagai aset warisan negeri Perak,” katanya sewaktu melawat mimbar Masjid Batu, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jejak mimbar tua itu diharap dapat menerbitkan kecintaan dan penghargaan dalam kalangan masyarakat setempat di Kuala Kurau khususnya, bahkan di negeri Perak dan Malaysia umumnya.

Harleny memulakan kajian mengenai mimbar berusia lebih 100 tahun di seluruh negara dan Nusantara sejak 2009 dan setakat ini ratusan mimbar telah dikaji dengan kerjasama pihak muzium dan Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Batu, Mohd Said Hasni, 78, berkata, pengukir mimba itu kemungkinan orang Jawa dari Sumatera yang berhijrah dari Johor ke Semanggol dan ke Kuala Kurau, berdasarkan cerita masyarakat Jawa yang tinggal di sini daripada datuknya.

"Saya percaya mimbar ini diukir oleh tukang yang mahir kerana tidak berlaku serpihan pada ukiran di mimbar ini,” katanya sambil menambah empat tiang kayu cengal emas digunakan untuk menyokong struktur masjid itu. - Bernama