ASNB laksana polisi nombor telefon mudah alih tunggal

Iklan
ASNB mengumumkan pelaksanaan polisi nombor telefon mudah alih tunggal ke atas semua pemegang akaunnya.

SHAH ALAM - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pelaksanaan polisi nombor telefon mudah alih tunggal ke atas semua pemegang akaun ASNB dalam inisiatif terkini untuk memberi perlindungan data peribadi dan privasi yang lebih baik.

ASNB dalam satu kenyataan berkata, polisi itu telah mula dilaksanakan pada 25 September 2021 sebagai salah satu usaha penambahbaikan utama ke atas portal pelaburan dalam talian dan aplikasi mudah alih myASNB.

Iklan
Iklan

"Penambahbaikan ini merupakan peningkatan utama pada antara muka dan pengalaman pengguna,” jelas kenyataan itu pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, berkata, sebelum ini ASNB membenarkan perkongsian nombor telefon untuk akaun-akaun yang berbeza bagi memudahkan para pemegang unit mengurus akaun milik ahli keluarga, khususnya ibu bapa yang berusia dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Iklan

Beliau memberitahu, dengan tersedianya pelbagai kemudahan transaksi dalam talian di portal dan aplikasi myASNB, nombor telefon mudah alih kini digunakan untuk tujuan pengenalan dan juga pengesahan.

"Polisi nombor tunggal ini akan meningkatkan lagi keselamatan untuk semua pengguna. Kami sedia maklum bahawa polisi ini akan menimbulkan sedikit kesulitan kepada para pemegang unit berbanding pendekatan yang lebih fleksibel sebelum ini.

Iklan

"Kami yakin para pemegang unit sedar bahawa ancaman terhadap data peribadi dan privasi semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dan pentingnya ASNB mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian untuk melindungi pelaburan mereka dengan kami,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pemegang unit ASNB yang mempunyai rekod duplikasi nombor telefon dalam pelbagai akaun telah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk mengunjungi cawangan dan ejen ASNB terdekat bagi tujuan pengesahan nombor telefon.

Seterusnya, ASNB akan mengaktifkan peraturan satu nombor satu akaun dan membatalkan penggunaan nombor telefon yang sama ke atas akaun-akaun ASNB yang lain.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 (8 pagi hingga 8 malam setiap hari) atau e-mel kepada asnbcare@pnb.com.my