SELAYANG - Kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sampah yang betul masih berada di tahap rendah.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, lambakan tanpa pengasingan sampah domestik dan pukal antara masalah yang dihadapi pihaknya.
Menurutnya, tong sampah jenis 'leach bin' yang disediakan untuk sampah harian atau domestik di kawasan perumahan disalah guna pihak luar untuk membuang sisa niaga dan industri turut menyebabkan berlaku lambakan sampah.
"Ada di antara peniaga yang mahu melupuskan sisa dengan cepat membuang sampah pukal di tempat tidak sepatutnya.
"Kalau ikutkan KDEBWM ada jadual kutipan sampah pukal tetapi sampah itu perlu diletakkan di tempat sesuai.
"Bagi peniaga pula, mereka perlu menguruskan sampah sendiri. Jika dalam keadaan sedikit, kita boleh bantu tetapi jika banyak akan menjadi lambakan yang sukar diuruskan oleh pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, warga asing turut menyumbang kepada isu kebersihan dan lambakan sampah.
Jelasnya, pihak KDEBWM telah mengadakan kempen kesedaran kepada golongan tersebut namun usaha itu tidak mendapat sambutan.
"Kita tidak boleh menghalang kemasukan kumpulan atau individu di negeri ini untuk merancakkan ekonomi tetapi perlu proaktif dan sensitif cara urus dan lupus sampah supaya lebih selesa," katanya selepas selesai sesi penyerahan sembilan tong sampah di Dewan Undangan Taman Templer.
Penyerahan disampaikan oleh Ramli kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, mohd Sany Hamzan di rumah sampah One Selayang.
'Leach bin' tersebut akan diletakkan Apartment One Selayang, Flat Kota Warisan, Apartment Nuri, Flat Selayang Mulia, Flat Julia, Kampung Mahkota dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru.
Dalam pada itu, Mohd Sany berkata, permohonan tong sampah tersebut dibuat bulan lalu sebelum penyerahan diterima pada Isnin dan fasiliti itu akan diagihkan di lokasi yang dikenal pasti mempunyai masalah sampah yang kritikal.
Beliau berharap sumbangan tong sampah tersebut dapat dimanfaatkan penduduk.
"Masalahnya kesedaran pengurusan sampah masih rendah dalam kalangan masyarakat kita kerana mereka sanggup membuang sampah ketika berhenti di lampu isyarat.
"Aspek kebersihan ini perlu dititikberatkan melalui didikan kepada anak-anak selain peningkatan kempen kesedaran. Mungkin juga perlu ada menteri kebersihan," katanya.