KOTA KINABALU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah dan agensi berkaitan disaran mengadakan lebih banyak program dan inisiatif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti bidang berkenaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, negara menghadapi pelbagai cabaran kerana perubahan dalam landskap global dan memerlukan pelajar yang lebih bermotivasi tinggi dalam bidang STEM.
"Pandemik Covid-19 telah mencetuskan suasana baharu di mana masyarakat mahu atau tidak perlu mengambil tahu mengenai sains dan teknologi digital ini.
"Harapan saya, program ini berjaya menanam minat pelajar dalam membudayakan pemikiran saintifik, kreatif dan inovatif dan seterusnya meningkatkan kadar bilangan pelajar STEM di negeri ini," katanya ketika merasmikan majlis penutupan Karnival Sains Sabah secara maya, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, peranan sains, teknologi dan inovasi secara tidak langsung menjadi perkara asas yang sebahagian dalam cara hidup pada masa ini.
"Pandemik ini turut memberi ruang kepada masyarakat untuk berhijrah kepada cara pembelajaran, pekerjaan dan perniagaan secara digital," katanya.
Tambah Hajiji lagi, Sabah menerima peruntukan RM3.5 bilion menerusi Program Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkatkan capaian 4G di Sabah kepada 90 peratus menjelang 2023 dan sebanyak 51 menara telekomunikasi telah siap dibina manakala 483 lagi sedang dalam proses pembinaan.
"MOSTI Sabah juga dalam perancangan untuk memasang kemudahan 'Very Small Aperture Terminal' (VSAT) di 300 lokasi yang dikenal pasti pada tahun hadapan dan 55 lokasi pada tahun ini bagi melengkapkan Program Jendela yang akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"SKMM memperuntukkan sebanyak 138 lokasi untuk pemasangan VSAT di Sabah dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasang VSAT di 59 sekolah yang tidak mempunyai kemudahan internet," katanya.
Katanya, program Jendela dilaksanakan bagi memenuhi keperluan untuk memperbaiki kualiti liputan jalur lebar, mengurangkan kadar harga jalur lebar dan menyediakan akses kepada semua lapisan masyarakat.