KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara supaya dapat merungkai permasalahan membabitkan integriti institusi itu.
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berkata, penubuhan RCI itu perlu bagi membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar mengenai pendakwaan yang dilakukan oleh Tommy ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya membabitkan pemimpin UMNO.
Ujarnya, langkah segera ini perlu diambil berikutan desakan pembangkang yang mahukan supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletak jawatan selepas beberapa keputusan mahkamah yang dilihat berpihak kepada pemimpin UMNO ketika ini.
"Saya dengan ini mengesyorkan bagi merungkai masalah khususnya yang berkaitan dengan integriti seperti mana dilaungkan (pembangkang) sebelum ini bahawa (ada pemimpin) UMNO pencuri, UMNO kluster mahkamah, supaya kerajaan segera tubuhkan RCI atas pendakwaan yang dilakukan Tommy dan pendedahan dibuat dalam buku beliau.
"Kita wujudkan satu RCI untuk rungkai, barulah rakyat tahu mengenai pendakwaan tersebut dan siapakah dalang atau adakah tangan-tangan ghaib yang telah beri arahan tertentu untuk tangkap dan tuduh mereka khususnya dalam kalangan kami (UMNO)," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambahnya, ketika zaman PH memerintah, UMNO tidak pernah membuat desakan sehingga mahukan Peguam Negara meletak jawatan, meskipun berlaku pendakwaan ke atas pempimpin parti itu atau ada kes membabitkan pemimpin daripada kerajaan ketika itu digugurkan.
Namun katanya, apabila kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO yang didapati tidak bersalah atau dibebaskan, pembangkang dengan lantangnya cuba memanipulasi perkara tersebut bagi memberi imej tidak baik kepada pemimpin parti.
Pada awal tahun ini, Tommy dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ membuat pendedahan menggemparkan mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara.
Selain itu, dalam buku sama, beliau turut mendedahkan bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad mengkhianati rakannya dalam PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng.