PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti menyifatkan kekalahan 1-2 skuad kendaliannya itu kepada Espanyol pada Ahad, sebagai aksi terburuk yang dipamerkan kesebelasan pemain musim ini.
Menurut Ancelotti, kesemua pemain dilihat gagal beraksi mengikut perancangan taktikal yang telah diatur sebelum ini selain dilihat beraksi hambar di sepanjang perlawanan.
"Saya akui, pasukan ini beraksi dengan begitu buruk hari ini (Ahad). Walaupun bermula dengan menyerang ke pintu gol lawan, namun selepas itu semua gerakan atau asakan dilihat bagai tidak menjadi.
"Selain itu saya juga melihat pemain tidak berada pada kedudukan yang betul ketika beraksi di padang hingga menyebabkan mereka sering kehilangan bola.
"Apa pun, bagi saya aksi yang dipamerkan pemain cukup buruk kali ini sejak saya kembali selaku jurulatih di sini,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan skuad Los Blancos itu kini melebarkan kekalahan kepada tiga perlawanan dalam semua pertandingan termasuk ketika tewas 1-2 kepada skuad dari Moldova, Sheriff di Santiago Bernabeu pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan kedudukan skuad berkenaan selaku pendahulu La Liga ketika ini dengan 17 mata selain dengan perbezaan jaringan dengan pencabar terdekat, Atletico Madrid.
Sementara itu, Ancelotti mahu skuad kendaliannya itu kembali memberikan fokus bagi meraih kemenangan ketika berdepan Athletic Bilbao di Santiago Barnebeu, 17 Oktober ini.
"Saya mahu kesemua pemain memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini nanti dan seterusnya meraih tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
"Saya juga mahu menyaksikan pemain memanfaatkan sebaiknya rehat antarabangsa kelak untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.