DATA Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, lapan dalam setiap 1,000 bayi yang baru lahir mengalami penyakit jantung kongenital.
Jantung kongenital merujuk kepada sebarang kecacatan struktur pada jantung atau saluran darah.
Penyakit ini boleh berlaku dalam tiga bentuk utama iaitu lubang dalam jantung, penyumbatan aliran darah dan kekurangan oksigen dalam darah.
Sesetengah pesakit hanya memerlukan pemantauan berterusan manakala yang lain harus menerima perhatian perubatan yang intensif seperti pembedahan.
Bagi yang berkemampuan, mungkin proses prosedur berkenaan tidak mendatangkan masalah. Namun bagaimana mereka yang sebaliknya?
Melihat situasi itu, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur melalui program tanggungjawab sosial korporat, A-Heart for A-Heart mengambil inisiatif yang melegakan banyak pihak.
Tahukah anda, sejak tahun lalu, seramai 52 kanak-kanak yang menghidapi penyakit jantung kongenital menerima rawatan percuma di hospital ini.
Mereka adalah sebahagian daripada lebih 1,300 pesakit yang bermanfaat daripada inisiatif ini sejak dilancarkan pada tahun 1996.
Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur, Hoo Ling Lee berkata, A-Heart for A-Heart bertujuan menyediakan bantuan penjagaan jantung pediatrik percuma kepada golongan kurang bernasib baik yang tidak mampu membiayai kos rawatan yang diperlukan.
Ujarnya, penyakit jantung kongenital menimbulkan beban yang berat pada kanak-kanak dan ibu bapa, terutamanya golongan kurang berkemampuan.
"Pihak hospital ini berdedikasi untuk mewujudkan perbezaan dalam masyarakat di sekeliling kami.
"Kami berbangga untuk membolehkan kanak-kanak ini menjalani kehidupan yang lebih memuaskan. Pihak hospital juga berharap untuk menghulurkan bantuan pada kapasiti yang lebih banyak melalui usaha amal kami,” katanya semasa program berkenaan di Hospital Gleneagles di ibu negara baru-baru ini.
Program yang dianjurkan sempena Hari Penyakit Jantung Kongenital Sedunia turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 30 bekas pesakit.
Turut hadir Pakar Kardiologi Pediatrik, Dr Lim Miin Kang dan Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Lee Weng Seng yang menyumbangkan kemahiran dan tenaga mereka kepada program ini.