IKTBN Temerloh hargai barisan petugas hadapan

Iklan
Mohd Yusof (kanan) turut tidak ketinggalan membantu membersihkan kenderaan petugas hadapan yang menyertai program tersebut pada Ahad.

TEMERLOH - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh menghargai usaha petugas hadapan dengan menawarkan khidmat mencuci, sanitasi dan penyelenggaraan kenderaan secara percuma

Program 'Terima Kasih Frontliner' itu merupakan inisiatif Jabatan Teknologi Automotif Penyelenggaraan di bawah Fakulti Automotif di IKTBN Temerloh.

Iklan
Iklan

Pengarah IKTBN Temerloh, Ts. Dr Mohd Yusof Abu Bakar berkata, seramai 29 pelajar dan lapan tenaga pengajar terlibat dalam program pada Sabtu dan Ahad dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Aktiviti ini sesuai dengan kemampuan dan kemahiran pelajar di institut terbabit.

Iklan

"Beberapa IKTBN di seluruh negara sudah menyumbang termasuk peralatan perlindungan diri (PPE), pelindung muka yang dihasilkan untuk petugas hadapan.

"Di sini kerana fokus pada bidang automotif, jadi kita lihat ia sesuai dengan kemahiran pelajar untuk program ini, menyelenggara dan membersihkan kenderaan petugas terlibat selain mendidik pelajar dengan semangat kesukarelawan serta mempromosikan IKTBN Temerloh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Penyelaras program, Samsulbahari Nur Tahir memberitahu, lebih 70 buah kenderaan milik petugas barisan hadapan diselenggara berbanding 50 kenderaan yang disasarkan.

"Program dua hari bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu mendapat sambutan baik," tambahnya.

Sementara itu,pelajar seperti Mohd Haiqal Amril,20, teruja kerana dapat menyalurkan khidmat menerusi program tersebut.

Ujarnya, ia juga dapat mempraktikkan kemahiran sedia ada selain bekerjasama bersama rakan-rakan selepas beberapa bulan tidak dapat bersama akibat pandemik.

Rakannya, Nik Nur Atikah Mohd Nasir, 24 turut gembira kerana dapat menghargai jasa petugas barisan hadapan dengan kemahiran yang diperoleh.

Dalam pada itu, seorang petugas barisan hadapan, Koperal Izham Ali, 36, yang bertugas di Balai Polis Mentakab menghargai usaha IKTBN Temerloh dan beliau tidak melepaskan peluang untuk menghantar kenderaannya.