Kerajaan digesa segerakan formulasi Pelan Induk Perindustrian baharu

Iklan
Mohd Shafie

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk menyegerakan formulasi Pelan Induk Perindustrian baharu bagi mencorakkan sektor perindustrian negara.

Dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, sehingga hari ini tiada pelan baharu telah dimuktamadkan untuk sektor perindustrian negara setelah Pelan Induk Perindustrian ketiga tamat pada 2020.

Iklan
Iklan

"Saya berharap kerajaan dapat menyegerakan pelan induk baharu ini agar hala tuju perindustrian negara lebih jelas. Perkara ini penting bagi membantu meningkatkan ekuiti pemilikan warga tempatan dalam sektor industri dan korporat,” katanya.

Mohd Shafie berkata, kerajaan seharusnya memperhalusi kembali peranan sektor perindustrian terhadap pembangunan negara dengan penekanan dan keutamaan perlu diberikan kepada sektor ini.

Iklan

"Di Sabah contohnya, suatu ketika dulu, industri koko adalah antara penyumbang terbesar ekonomi negeri. Bagaimanapun, kita perhatikan bahawa aktiviti hiliran tidak pernah dibuat di Sabah. Ia dibawa ke Semenanjung Malaysia.

"Akibat daripada tindakan ini, penduduk tempatan di mana sumber tersebut diperoleh, tidak dapat merasai limpahan industri melalui pekerjaan atau perniagaan dalam rantaian. Ini adalah satu perkara yang perlu diteliti semula dan diberi penekanan oleh kerajaan,” katanya.

Iklan

Justeru, beliau berkata, dengan belanjawan RM400 bilion untuk RMK12, adalah penting untuk kerajaan mengutamakan peruntukan tersebut bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor berkemahiran tinggi.

"Turut dicadangkan agar suatu badan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan RMK12 dengan objektif utama iaitu mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat,” kata Mohd Shafie.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, Malaysia Airlines perlu mempertimbangkan model perniagaan yang boleh membawa keuntungan daripada membiarkan asetnya statik dan tidak digunakan.

Pada masa ini, syarikat penerbangan tersebut mempunyai 83 kapal terbang. Daripada jumlah itu hanya 55 yang masih aktif digunakan, manakala 28 lagi tidak digunakan secara aktif.

Mohd Shafie berkata, Malaysia Airlines adalah syarikat yang penting untuk ekonomi Malaysia, namun sejak 2002 hingga 2021, sebanyak tujuh pelan transformasi telah dibuat.

Bagaimanapun sehingga kini, Malaysia Airlines masih lagi memerlukan dana daripada kerajaan untuk menanggung operasinya, katanya.

"Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan kerajaan telah memberikan dana sejumlah RM28 bilion setakat akhir 2020.

"Walaupun telah diberikan dana yang begitu banyak, Malaysia Airlines masih menghadapi pelbagai masalah. Mungkin kita perlu melihat penyelesaian masalah ini dari sudut yang lain pula,” katanya. - Bernama