KUALA TERENGGANU – Bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini yang sudah berusia 84 tahun akan diganti baharu bagi memberi keselesaan kepada seramai 993 anggota dan kakitangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembinaan bangunan baharu itu sudah dimulakan di atas tapak sedia ada seluas 2.04 hektar melibatkan kos sebanyak RM104 juta.
Beliau berkata, projek tersebut merupakan sebahagian pelan strategi keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan kelangsungan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya rakyat negeri ini.
"Pembinaan IPK ini mencerminkan iltizam PDRM yang jitu khususnya untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri selamat untuk didiami dan masyarakatnya hidup dengan aman serta mengambil berat tentang isu-isu keselamatan bersama.
"Saya berharap projek pembinaan ini akan berjalan lancar dan siap pada masa yang telah ditetapkan iaitu dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan IPK Terengganu di sini pada Isnin.
Hadir sama ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.
Hamzah berkata, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan bangunan baharu di tapak sedia ada berikutan lokasinya yang strategik iaitu di berada tengah-tengah bandar raya pesisir pantai.
Beliau berkata, pembinaan merangkumi bangunan pentadbiran setinggi sembilan tingkat yang menempatkan 10 buah jabatan, bilik pejabat, bilik mesyuarat, dewan serbaguna, auditorium, kantin dan taska.
"Saya harap pembinaan bangunan IPK Terengganu baharu bagi menggantikan bangunan lama yang telah dibina pada tahun 1937 ini akan memberi keselesaan kepada warga kerja PDRM di negeri ini.
"Dengan keselesaan yang bakal dikecapi ini, mereka mampu memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan prestasi kerja untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.