KLANG - Seorang wanita bersama anak perempuannya ditahan pada malam Ahad kerana disyaki mendera pembantu rumah mereka yang juga warga India.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, kedua-dua suspek yang berusia 49 dan 28 tahun itu ditahan sekitar jam 7 malam.
"Pada Ahad sekitar jam 1.19 petang seorang wanita membuat laporan iaitu pada 19 September sekitar jam 8 malam beliau menjumpai seorang perempuan warga India duduk di kaki lima pejabat pos Klang.
"Perempuan tersebut telah melarikan diri dari rumah dan dihantar oleh orang tidak dikenali sehingga ke Pejabat Pos Klang. Wanita itu kemudiannya membawa mangsa dan membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Vijaya Rao memberitahu, mangsa yang berusia 26 tahun itu dipercayai bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah suspek selama 19 bulan.
"Mangsa dipukul dengan wayar seterika di bahagian paha oleh anak majikannya sebelum melarikan diri kerana tidak tahan bekerja serta tidak dibayar gaji.
Mangsa kemudiannya diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan wanita Damansara selama 21 hari sementara polis melengkapkan siasatan," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.