MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas produk Ivermectin yang tidak berdaftar yang dianggarkan bernilai RM8,240 dalam tujuh serbuan sehingga 10 September lepas.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan itu melibatkan premis klinik, farmasi, penjualan secara dalam talian dan pemantauan akan dijalankan berterusan terhadap pengiklanan serta penjualan produk tidak berdaftar seperti Ivermectin.
"Sehingga kini tiada produk Ivermectin yang diluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia atau untuk rawatan dan pencegahan Covid-19.
"Penjualan produk tidak berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) adalah satu pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan penjualan Ivermectin sebagai rawatan atau pencegahan Covid-19 kerana penggunaannya tanpa pemantauan anggota profesional kesihatan boleh mendatangkan risiko kesihatan diri.
Beliau berkata, pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut manakala status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my atau menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.
Orang awam juga disarankan melaporkan sebarang penjualan Ivermectin di laman e-dagang atau media sosial kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, supaya tindakan sewajarnya dapat dikenakan bagi membanteras penjualan produk Ivermectin tidak berdaftar di pasaran, katanya. - Bernama