Anwar gesa segera bahas pendedahan Pandora Papers

Iklan
Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Dewan Rakyat segera membahaskan isu berkaitan pendedahan Pandora Papers

Menurutnya, ia membabitkan beberapa nama besar dalam negara dan mempunyai kepentingan kepada orang ramai kerana terdapat tokoh politik dari pihak kerajaan dan pembangkang.

Iklan
Iklan

Beliau yang berkongsi perkara itu di Facebook pada Isnin memberitahu, usul tersebut telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Isnin.

"Mengambil maklum pendedahan Pandora Papers awal pagi tadi (Isnin), saya telah menghantar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Iklan

"Saya percaya perkara ini juga adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang,” katanya.

Justeru, Anwar dalam hantaran sama berharap usul tersebut dipertimbangkan dan dilulus untuk dibahaskan.

Iklan

Pada Isnin, media melaporkan beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan tersebut, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Berdasarkan notis, Anwar berkata, perbahasan perlu disegerakan kerana laporan Pandora Papers kini terdedah di seluruh dunia dan memerlukan penjelasan segera kerajaan untuk membersihkan nama baik kerajaan Malaysia.

"Perlu bersihkan nama baik kerajaan daripada tohmahan dan dakwaan melindungi mana-mana warganegara jika terbabit dalam apa kesalahan transaksi kewangan antarabangsa dan memberi ruang kepada kerajaan serta pihak disenaraikan memberi penjelasan.

"Ini perkara berkenaan kepentingan orang ramai kerana laporan ini menyebut nama tokoh politik yang masih menganggotai pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beberapa ahli Parlimen, ia boleh memberi gambaran dan persepsi buruk kepada orang ramai jika perkara ini tidak dijelaskan secara telus dan terbuka serta bertanggungjawab," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pandora Papers dedah dua ahli politik Malaysia miliki akaun luar pesisir

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya sedia disiasat'

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul rujuk peguam

ARTIKEL BERKAITAN: Pandora Papers pula bongkar rahsia