NEW DELHI - Polis di Uttar Pradesh pada Isnin menghalang pemimpin tertinggi pembangkang untuk bertemu dengan petani di kawasan yang menjadi lokasi kekacauan, menyaksikan lapan orang terbunuh pada Ahad.
Pemimpin Parti Kongres, Priyanka Gandhi dan Presiden Parti Samajwadi, Akhilesh Yadav adalah antara ahli politik yang dihalang meneruskan perjalanan ke daerah Lakhimpur Kheri, kira-kira 130 kilometer (km) dari Lucknow untuk bertemu keluarga mangsa.
Lapan orang termasuk empat petani terbunuh dalam tunjuk perasaan menjelang lawatan Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Keshav Prasad Maurya ke kampung menteri dalam negeri, Ajay Kumar Mishra.
Menurut persatuan petani, Samyukta Kisan Morcha (SKM), anak menteri dalam negeri itu, Ashish Mishra dan rakan-rakannya telah merempuh penunjuk perasaan dengan kenderaan mereka.
Menteri itu menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan anaknya tiada di lokasi kejadian.
Tiga daripada mangsa yang terbunuh dilaporkan adalah anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) dan pemandu kereta mereka.
Tunjuk perasaan petani di Uttar Pradesh adalah sebahagian daripada gerakan membantah tiga undang-undang baharu pertanian.
Bantahan itu telah mencetuskan beberapa siri tunjuk perasaan besar-besaran di negeri pertanian seperti Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh.
Susulan peristiwa itu, keadaan di wilayah Uttar Pradesh semakin tegang dan ramai pemimpin politik merancang untuk bertemu keluarga mangsa. - Bernama