KOTA BHARU - Sepasang suami isteri di Kampung Kubang Palas, Banggu di sini menawarkan menu nasi ayam berharga RM1.90 bagi membantu golongan yang terkesan dengan serangan pandemik Covid-19.
Percubaan Seli@Rosli Salleh, 45, dan isterinya, Wan Roslina Wan Roslan, 43, menambahkan rezeki mereka apabila tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
Rosli berkata, sehingga kini dia dan isteri masih tidak menyangka sambutan daripada pelanggan sejak memulakan perniagaan nasi ayam itu pada Oktober tahun lalu.
"Jika mahu dikira untung memang sedikit sahaja, namun rezeki ALLAH SWT itu luas.
"Alhamdulillah, niat saya untuk penduduk kampung dan kawasan sekitar menikmati hidangan nasi ayam pada harga murah di musim pandemik menjadi kenyataan.
"Jualan harian nasi ayam saya sudah mencecah sehingga 600 bungkus berbanding 100 ketika memulakan operasi," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurutnya, walaupun berlaku kenaikan harga ayam namun hidangan itu masih kekal pada RM1.90.
Tambah Rosli, lebih menggembirakan apabila pelanggan memberikan respon positif terhadap hidangan tersebut dan menyifatkan potongan ayam bersama nasi, sambal, kicap serta hirisan timun batang serta tomato cukup berbaloi.
Rosli memberitahu, menu lain yang ditawarkan di kedainya seperti laksa penang, pulut ikan rebus, nasi air, mihun dan mi celup.
"Saya turut menyediakan makanan barat iaitu chicken chop dan sosej bakar," katanya.
Menurutnya, kedai tersebut beroperasi seawal jam 9.30 pagi hingga 10 malam dan rata-rata pelanggan datang dari sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.
Katanya, menu nasi ayam itu merupakan air tangan isteri yang merupakan seorang tukang masak.
Rosli turut mengucapkan terima kasih kepada abang kandung, isteri dan dua anak lelakinya yang banyak memberi sokongan sepanjang menjalankan perniagaan tersebut.
"Tanpa sokongan mereka, nasi ayam RM1.90 mungkin tidak akan berada pada tahap ini," katanya.