SHAH ALAM - Ketua Agensi Peneraju merupakan tonggak utama dalam memastikan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dapat mencapai misi dan visi ditetapkan.
Pengarah Bahagian Penyelidikan Anti-Rasuah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Rasidah Abdul Karim berkata, selain enam bidang keutamaan diberi perhatian oleh NACP, seramai 24 Ketua Agensi Peneraju ditetapkan untuk melaksanakan 115 inisiatif yang dirangka.
Menurutnya, kesemua maklumat diberikan dapat membantu pihaknya menyediakan Laporan Kemajuan NACP dengan lancar dan mengikut tempoh masa yang dirancang, seterusnya boleh dibentangkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagaimana ditetapkan.
"NACP merupakan dokumen yang bersifat living document dan visi mencapai ‘Ke Arah Negara Bebas Rasuah’ dengan menegakkan kedaulatan undang-undang, meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan berasaskan tadbir urus baik serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih.
"Laporan Kemajuan NACP bagi tahun 2020 dan 2021 akan digabungkan dalam satu penerbitan. Sesi edaran akan dibuat pada awal 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika webinar bertajuk ‘Bersama Memerangi Rasuah’ yang dianjurkan oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Rasuah Busters baru-baru ini.
Program itu turut menampilkan Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal; Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Izani Wan Ishak dan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin sebagai panelis.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif NACP, Rasidah berkata, bidang keutamaan pertama yang diberi perhatian adalah tadbir urus politik termasuk undang-undang pengisytiharan harta dan kepentingan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen.
Katanya, bidang keutamaan kedua yang diberi perhatian adalah perkhidmatan awam dengan memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan pusingan kerja penjawat awam yang memegang jawatan sensitif serta melaksanakan mekanisme kukuh dalam pengeluaran permit serta lesen.
Rasidah berkata, bidang keutamaan ketiga melibatkan perolehan awam, manakala keempat menjurus kepada badan perundangan dan kehakiman negara.
"Bidang keutamaan kelima melibatkan penguatkuasaan undang-undang termasuk peruntukan baharu berkaitan penjualan kontrak atau projek kerajaan dengan mewajibkan pendedahan pemunya benefisiari dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694).
"Bidang keutamaan terakhir adalah melibatkan tadbir urus korporat. Ini termasuk tapisan integriti dalam pemilihan pengurusan tertinggi badan berkanun dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Program Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Sudhagaran Stanley berkata, amalan rasuah yang sangat ketara dalam masyarakat perlu dibendung segera sekiranya tidak mahu melihat generasi depan berhadapan situasi sukar.
Katanya, rasuah yang seakan sebati dengan masyarakat dan dilakukan secara terbuka merupakan satu barah yang perlu dimatikan dengan kerjasama semua pihak.
"Situasi berhubung amalan rasuah yang kita hadapi pada masa ini adalah sangat serius dan memberi kesan besar kepada negara.
"Sekiranya kita semua tidak mengambil langkah untuk berubah, pastinya kita akan tenggelam teruk pada masa hadapan ekoran negara musnah akibat gejala rasuah.
"Untuk itu, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah satu agenda yang sangat penting untuk dijayakan oleh semua pihak sebagai langkah awal memerangi amalan jijik ini,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung inisiatif NACP, Sudhagaran berkata, pelan tersebut perlu digerakkan oleh semua pihak terutama kepada Ketua Agensi Peneraju dalam memberi laporan penuh dan menjayakan 115 inisiatif yang telah dirangka.