Belanjawan 2022: Kerajaan perlu berbelanja dengan berhemah

Iklan
Muhamad Nur Aizat semasa program Berani Semuka bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan perlu merancang untuk berbelanja dengan berhemah berbanding berjimat cermat dalam Belanjawan 2022 meliputi bantuan tunai, infrastruktur dan sebagainya kepada rakyat.

Exco pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, ini kerana belanjawan yang baik adalah apabila ia digunakan secara efektif dan kebaikannya sampai kepada golongan sasar manakala kewangan tidak dibelanjakan pula disifatkan belanjawan yang buruk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Belanjawan 2022 wajib berpaksikan kepada rakyat dan tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak dengan memfokuskan kesejahteraan, memulihkan semula kehidupan rakyat, ekonomi serta sektor terjejas.

"Perbelanjaan kerajaan adalah keuntungan rakyat. Seperti mana kita tahu, ini kali pertama kerajaan membentangkan satu prabelanjawan.

Iklan

"Ia untuk mendengar rintihan, komen dan suara rakyat di pelbagai platform. Ini satu sifat yang buktikan kerajaan benar cakna dengan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka yang bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Turut menjadi panelis, Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin manakala Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut Muhammad Nur Aizat berkata, bajet yang baik perlu memastikan bahawa tidak ada ketirisan dalam melaksanakannya.

Tambahnya selaku Pemuda UMNO yang merupakan parti dalam kerajaan, pihaknya juga akan memastikan tidak sebarang salah laku mengenai belanjawan yang hendak diguna pakai oleh kerajaan.

"Kerajaan serius dalam memastikan dan memulihkan ekonomi rakyat dan paling penting adalah untuk memastikan perjalanan dan putaran ekonomi dalam masyarakat akan berada dalam tahap yang baik.

"Rakyat juga kena pastikan bahawa tidak berlaku salah guna dalam kerajaan mengenai belanjawan yang akan diluluskan,” ujarnya.

Selain itu, beliau mencadangkan belanjawan tersebut menyediakan pelbagai subsidi dan kemudahan yang memberikan manfaat kepada penduduk termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.

"Antaranya capaian internet. Kita lihat apabila diserang pandemik Covid-19, pelbagai aktiviti dan platform perlu mempunyai capaian internet yang baik dan tak dapat dinafikan bahawa di luar bandar masih lagi mempunyai kawasan yang tidak mempunyai capaian ini.

"Ini adalah fokus yang saya percaya kerajaan akan tekankan di mana saya percaya lebih kurang tujuh juta rakyat Malaysia luar bandar harus menikmati kenikmatan yang sama seperti mana yang berada luar bandar," katanya.

Tambah beliau, subsidi seperti untuk nelayan, petani, anak muda yang mulakan perniagaan perlu diberikan agar dapat dinikmati oleh majoriti di luar bandar.