PEMAIN import Johor Darul Ta'zim (JDT), Shane Lowry menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun dengan skuad Harimau Selatan itu sekali gus bertekad untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Menurut Lowry, 31, yang menyertainya JDT sejak Mei lalu dan kini memperbaharui kontrak enam bulan yang bakal tamat, menyifatkan pilihannya bersama-sama JDT adalah tepat.
Dia yang menyertai JDT secara percuma berjaya membuktikan kemampuan sebagai tonggak pertahanan tengah yang ampuh apabila membantu Harimau Selatan menjuarai Liga Super buat kali kelapan musim ini.
Pemain kelahiran Australia itu merasa sangat bertuah untuk kekal bersama-sama JDT dan bertekad mencipta kejayaan baharu termasuk Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.
"Ketika JDT menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat saya, saya tidak berfikir dua kali kerana ia adalah sebuah pasukan bola sepak yang cukup lengkap dan istimewa.
"Lebih-lebihnya pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sangat profesional dalam menguruskan pasukan pada tahap yang tinggi.
"Saya gembira dapat menyambung kontrak untuk terus bersama JDT dan berhasrat untuk membina masa depan di sini. Ini juga membuktikan kerja keras saya selama ini bersama pasukan membuahkan hasil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JDT di Iskandar Puteri pada Isnin.
Lowry sebelum ini bermain dengan kelab Al-Ahly dan dia merupakan watak penting buat pasukan ketika bertanding dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) yang lalu.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, Lowry yang bagus daripada aspek teknikal dan taktikal itu adalah pelengkap bagi membantu memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan.
"Dia bukan sahaja pemain yang hebat, malah fizikal dan mentalitinya amat bagus. Jadi, kami amat memerlukan pemain seperti ini dalam pasukan dan sayang untuk dilepaskan.
"Bagi saya, ini adalah pilihan yang baik oleh pihak pengurusan dengan membawanya ke kelab ini. Ketika kami memerlukan khidmatnya dalam ACL, dia berupaya menjalankan tugas dengan baik, Sebagai ketua jurulatih, saya gembira dengan keputusan ini," katanya.