Hospital Sibu mohon jururawat kontrak dikekalkan

Iklan
Pihak pengurusan Hospital Sibu memohon supaya jururawat kontrak yang bertugas di hospital berkenaan terus dikekalkan hingga 31 Disember ini dalam usaha mengatasi masalah kekurangan petugas untuk menangani wabak Covid-19. - Gambar hiasan

SIBU - Pihak pengurusan Hospital Sibu memohon supaya jururawat kontrak yang bertugas di hospital berkenaan terus dikekalkan hingga 31 Disember ini dalam usaha mengatasi masalah kekurangan petugas untuk menangani wabak Covid-19.

Pengarahnya, Dr T. Nanthakumar berkata, setakat ini 53 orang petugas hospital dijangkiti Covid-19 dan dikuarantin selain ada bercuti sakit atau cuti bersalin menyebabkan hospital itu menghadapi masalah tenaga kerja namun masalah berkenaan dapat dikurangkan dengan mengekalkan jururawat kontrak terbabit.

Iklan
Iklan

"Pasukan jururawat juga telah memulakan perkhidmatan syif selama 12 jam. Walaupun pembekuan cuti rehat telah dilaksanakan, kelonggaran akan diberikan sekiranya terdapat perkara melibatkan kebajikan petugas termasuk kes kecemasan, urusan perubatan dan kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Hospital Sibu juga akan menerima mobilisasi 10 pegawai perubatan dan 10 penolong pegawai perubatan dalam masa terdekat.

Iklan

"Pengurusan Hospital Sibu sedaya upaya memastikan usaha mobilisasinya melibatkan 35 pegawai perubatan, 40 jururawat, 25 penolong pegawai perubatan dan 20 pembantu perawatan kesihatan dicapai agar operasi perkhidmatan rawatan bagi Covid-19 dan bukan Covid-19 dikendalikan dengan lancar,” katanya.

Dr Nanthakumar berkata, Hospital Sibu juga sedang menunggu penubuhan hospital medan yang berkapasiti 100 katil kendalian petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia dan Hospital Sibu bagi mengatasi masalah kekurangan katil untuk kegunaan khususnya bagi kes bukan Covid-19.

Iklan

Selain itu, katanya terdapat 13 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Respiratori masih dalam proses naik taraf dan dijangka siap 30 Okt manakala 10 katil di ICU Modular yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 11 Okt ini.

"Dua wad melibatkan Wad Respiratori dan Wad 17 masih dalam proses dinaik taraf (dan) dijangka berupaya memuatkan sejumlah 75 katil secara keseluruhan dan secara tidak langsung meningkatkan keupayaan Hospital Sibu bagi menampung kekurangan kapasiti katil sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, Wad 17 itu mula dibuka pada Rabu bagi menyediakan 24 katil untuk mengurangkan masalah di Wad Covid-19 Akut yang berkapasiti 64 katil tetapi kini terpaksa menampung 124 pesakit.

Hospital Sibu juga telah berusaha secara penyumberluaran untuk menghantar pesakit ke hospital swasta di sekitar daerah Sibu bagi kes pembedahan elektif yang telah tertangguh dan peruntukan tambahan sebanyak RM600,000 telah diterima pada 27 Sept bagi urusan tersebut.

"Bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital tersebut, pesakit Covid-19 yang stabil akan ditempatkan di Hospital Daro dan Hospital Kanowit selain menubuhkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Daro,” katanya. - Bernama