KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebuah kilang pembuatan bahan roti yang menyebabkan pencemaran akibat pelepasan efluen di Sungai Balak pada Ahad.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pihaknya sedang menyemak status kilang itu sama ada berlesen atau beroperasi tanpa kebenaran.
"Setakat ini saya belum menerima laporan (mengenai status kilang) tetapi akan mengambil tindakan penguatkuasaan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pasar Awam Pasir Penambang di sini pada Selasa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran pelepasan efluen berminyak dari sebuah kilang pembuatan bahan roti di Sungai Balak berjaya mengelak gangguan bekalan air.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, LUAS mengesan sisa minyak tercemar kira-kira 16 kilometer (km) dari muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih Dua.
Mengulas mengenai tindakan untuk menangani kilang yang mengakibatkan pencemaran sungai, Sze Han berkata, kerajaan Selangor serius terhadap perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan pencemaran.
Katanya, tindakan tegas itu akan diambil sama ada kilang yang didirikan di kawasan berhampiran sungai itu mempunyai lesen atau beroperasi secara haram.
"Saya ingin menjelaskan bahawa pencemaran sungai tidak semestinya dilakukan kilang haram kerana kilang berlesen juga boleh mendatangkan pencemaran.
"Apa yang penting, kilang yang menyebabkan pencemaran akan diambil tindakan penguatkuasaan," jelasnya.