KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperkemas semula proses permohonan penyewaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan meningkatkan jumlah permohonan yang diproses daripada 75 permohonan sebulan kepada 150 permohonan sebulan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu bagi mempercepatkan keputusan permohonan sewa rumah perumahan awam dan PPR DBKL, berikutan terdapat isu lambakan permohonan.
"Jumlah rumah yang dapat ditawarkan adalah terhad berbanding permohonan yang diterima. Dari tahun 2019 hingga Ogos tahun ini, sebanyak 9,948 permohonan penyewaan rumah PPR yang diterima oleh DBKL.
"Daripada jumlah itu, 627 permohonan dilulus dan dikeluarkan tawaran manakala 920 permohonan masih menunggu tawaran unit rumah kosong,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang ingin tahu langkah yang diambil bagi mengatasi isu lambakan permohonan PPR dengan unit perumahan yang tersedia khusus di Wilayah Persekutuan.
Jalaluddin berkata, penguatkuasaan akan turut dipertingkat bagi membolehkan pengosongan rumah untuk penyewa yang tidak mematuhi perjanjian penyewaan seperti menyewakan unit rumah kepada orang lain dan tidak menetap di rumah berkenaan.
"Pada tahun 2020, sebanyak 880 notis penguatkuasaan telah dikeluarkan dan daripada itu 309 unit rumah telah dirampas semula. Ini bagi meningkatkan bilangan rumah yang boleh ditawarkan kepada pemohon yang masih lagi dalam senarai simpanan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan menambah baik dokumen kontrak penyewaan untuk memperketatkan saringan ke atas permohonan baharu dan pelanjutan tempoh penyewaan. -Bernama