BUKIT GANTANG - Spekulasi demi spekulasi muncul dalam pentas politik negara.
Terkini mengenai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal yang dikatakan akan meletak jawatannya sebagai wakil rakyat.
Kisah ini bagaikan tiupan angin kencang dan semakin panas apabila ia menjadi antara topik hangat dalam kalangan rakyat di Parlimen Bukit Gantang.
Menurut satu sumber yang enggan dikenali berkata, ura-ura bekas wakil rakyat UMNO yang kini mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dikata bakal meletakkan jawatan tercetus sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, spekulasi itu timbul kerana bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu dikatakan hendak memberi tumpuan pada usaha mengimarahkan masjid-masjid di samping lebih fokus kepada aktiviti beribadah bersama jemaah tabligh yang disertainya selepas ini.
"Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan jangkaan kehadiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ke sini pada 10 Mac depan dalam sesi lawatan ziarah ke beberapa lokasi di sini.
"Difahamkan kehadiran Dr Asyraf akan berbincang mengenai kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen itu mewakili BN jika dikosongkan Syed Abu Hussin ," katanya kepada media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar sewaktu dihubungi tidak menafikan spekulasi membabitkan Syed Abu Hussin sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, ada terdengar hasrat wakil rakyat bebas itu hendak menumpukan usaha beribadah selepas meletakkan jawatan, namun kesahihannya masih belum dijawab Syed Abu Hussin.
"Bunyi cerita (letak jawatan) memang ada, tapi tunggu saja kesahihan daripada mulut empunya badan dan mungkin persoalan itu akan terjawab lepas PRK DUN Rantau.
"Soal Ketua Pemuda UMNO dipertimbangkan untuk bertanding (jika kerusi Parlimen Bukit Gantang dikosongkan) juga masih samar kerana kita juga perlu mengambil kira kemungkinan kerusi itu hendak ditandingi Pas kerana pernah mendudukinya sebelum ini," katanya.
Jelasnya, dalam politik, macam-macam perkara boleh terjadi.
Sementara itu, Syed Abu Hussin ketika dihubungi Sinar Harian menafikan spekulasi hangat mengenai peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam masa terdekat.
Sebaliknya, bertekad akan meneruskan komitmen berkhidmat kepada rakyat Parlimen Bukit Gantang meskipun berstatus wakil rakyat bebas.
"Saya tak pernah terfikir untuk letak jawatan dan akan komited meneruskannya melalui pelbagai inisiatif diambil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada rakyat di sini," katanya.