KUCHING - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat hari ini masih belum menemukan pembantu tekong yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang di sini, Sabtu lepas.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, setakat 3 petang tadi, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.
"Keadaan cuaca sewaktu pasukan penyelamat melakukan operasi SAR pada hari ini dilaporkan agak berangin dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan laut berombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.
"Keluasan pencarian hari ini merangkumi kawasan seluas 450.24 batu nautika persegi dengan fokus pencarian adalah di perairan Santubong, Pulau Satang, Pulau Sampadi sehingga ke Tanjung Datu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, 10 aset pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian di laut serta pesisir pantai pada hari ini, antaranya sebuah aset bot Pengawal 6 Maritim Malaysia, dua aset Pasukan Polis Marin PA1 dan RH 23, tiga aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain dua aset Sarawak Coast Guard iaitu SC Barracuda dan SC Tenggiri dan sebuah helikopter Ecureuil AS355N milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM.
Sabtu lepas sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang, berjaya diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad), manakala seorang pembantu tekong masih belum ditemukan.
Sementara itu merujuk kepada satu lagi operasi SAR Zin Azman berkata, sehingga jam 3 petang tadi, pihaknya masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu lokasi lima pemancing yang dilaporkan tidak kembali setelah keluar dengan bot pancing dari Jeti 98 Fishing Village pada pukul 5 petang 1 Oktober lepas
Beliau berkata, keluasan pencarian pada hari ini merangkumi seluas 381.48 batu nautika persegi dan fokus pencarian adalah tertumpu di kawasan yang dilaporkan hilang iaitu di perairan Karang Berumput dan Tukun Bass sehingga ke perairan Tanjung Datu.
"Bagi pencarian melalui udara pula akan dilakukan dengan menggunakan sebuah aset JBPM Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Miri iaitu Helikopter MI 171 di perairan Santubong sehingga ke Tanjung Datu, 15 batu dari pesisir pantai ke bawah, selain lapan buah bot pancing dari komuniti maritim pula melakukan pencarian di pesisir pantai,” katanya. - Bernama