Singapura bakal permudah permohonan kapal selam berkuasa nuklear

Iklan
Singapura adalah anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) antara Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom - Gambar hiasan

SINGAPURA - Program kapal selam berkuasa nuklear Australia dijangka mengambil masa lebih 10 tahun sebelum kapal selam pertamanya itu digunakan untuk operasi.

Andai bila tiba masanya kelak dan Australia memohon untuk menggunakan kemudahan di pangkalan tentera laut Singapura, republik itu akan mengambil tindakan sama seperti dilakukannya sekarang ke atas negara-negara lain.

Iklan
Iklan

Demikian menurut Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen dalam jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai Pakatan Australia-UK-US (AUKUS).

Dr Ng ditanya mengenai penilaian Kementerian Pertahanan mengenai pakatan AUKUS dan sama ada kapal selam nuklear Australia akan dibenarkan menggunakan kemudahan pelabuhan Singapura.

Iklan

Secara umum, Dr Ng berkata, republik itu akan memudahkan permintaan penggunaan pelabuhan oleh kapal tentera laut dari negara-negara yang mempunyai hubungan dua hala yang baik dan negara yang memupuk kestabilan di rantau ini.

Namun, katanya kapal-kapal ini harus mematuhi undang-undang, syarat, dan peraturan republik ini sepanjang penggunaan pelabuhan, terutama membabitkan keselamatan untuk kapal selam berkuasa nuklear.

Iklan

Menteri itu berkata, kumpulan kerjasama keselamatan multilateral untuk mana-mana wilayah geografi adalah perkara biasa kerana setiap negara akan berusaha untuk melindungi kepentingan strategik mereka sendiri.

"Bagi Singapura, sebagai sebuah negara kecil, kita juga harus menyesuaikan diri dengan kelompok sedia ada dan kelompok baharu untuk menjaga kepentingan kita," katanya.

Sebagai contoh, Dr Ng berkata, Singapura adalah anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) antara Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom, blok yang menyambut Jubli Emas, tahun ini.

Setiap latihan FPDA akan melibatkan hingga 4,000 anggota, 18 kapal, 50 hingga 60 pesawat, bahkan kapal selam, tetapi"negara jiran ASEAN menerima hal ini, kerana blok tersebut tidak ditujukan kepada satu-satu negara, tetapi, sebagaimana tujuan asalnya, untuk bertindak sebagai payung keselamatan bagi keamanan dan kestabilan Semenanjung Malaysia dan Singapura."

"FPDA bersifat inklusif," katanya sambil menambah bahawa pihaknya telah mengundang Setiausaha Agung Kementerian Pertahanan Indonesia (KEMHAN), dan juga Atase Pertahanan ASEAN untuk menyaksikan latihan yang dijalankan.

Dr Ng turut menyentuh mengenai Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-10 dan ADMM-Plus 18 negara.

"Kumpulan keselamatan ini telah melakukan lebih 20 latihan ketenteraan bersama tujuh Kumpulan Pakar sejak sedekad lalu," katanya.

Sementara itu, di Asia, Dr Ng berkata, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang melibatkan lapan negara anggota, empat pemerhati dan enam rakan dialog baru-baru ini telah menyelesaikan latihan ketenteraan antikeganasan multinasional kali keenam.

"Pakatan terdiri Australia, India, Jepun, dan Amerika Syarikat mengadakan dialog pertama pada 2007 dan kembali berdialog pada 2017 setelah sekain lama tertangguh. Perjanjian AUKUS akan menjadi agenda baharu,” katanya.

Apa pun rupa bentuknya, jelas Dr Ng, Singapura menggalakkan setiap kumpulan itu untuk menyumbang secara konstruktif terhadap keamanan dan kestabilan wilayah.

"Negara anggota kumpulan ini juga harus mematuhi perjanjian ASEAN yang telah mereka tandatangani secara individu, seperti Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara," katanya. -Bernama