KUALA LUMPUR - Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan lebam pada muka, pipi, telinga kiri dan paha kiri selepas dihantar kepada seorang pengasuh di Taman Selayang Jaya, Selayang, dekat sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kesan lebam itu disedari ibu bayi berkenaan yang berumur 40 tahun selepas mengambil anaknya yang berada di bawah jagaan pengasuh tersebut.
"Siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah pengasuh tersebut buat pertama kali pada kira-kira 9 pagi dan diambil semula oleh ibunya pada 4.30 petang hari yang sama.
"Semasa berada di rumah, ibu bayi tersebut menyedari kesan lebam kemerahan pada anggota badan anaknya lalu membuat laporan polis pada 6.30 petang," katanya dalam kenyataan malam ini.
Zainal Mohamed berkata, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada paha kiri serta bahagian muka sebelah kiri dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang.
"Keterangan suspek iaitu seorang wanita tempatan berumur 60 tahun telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (pengabaian kanak-kanak) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. - Bernama