Pesawah akui lebih sistematik

Iklan
Nordin (tengah) bersama Zulkefli (kanan) dan Madzlan merupakan peserta Smart SBB Bernas di Sungai Batu Pahat, Perlis.

PROGRAM SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Kampung Sungai Batu Pahat, Perlis, berpotensi meningkatkan hasil dan mutu padi keluaran tempatan sekali gus memberi manfaat kepada lebih 30 pesawah di sini.

Seiring dengan matlamat MAFI untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), program SMART SBB Bernas telah digerakkan sejak April lalu.

Iklan
Iklan

Ia melibatkan kawasan penanaman padi luar jelapang seluas 49 hektar yang diusahakan dalam Musim 2/2020 dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong, Perlis dan Lembaga Pertubuhan Peladang Perlis.

Nordin Salleh, 65, yang berperanan sebagai penyelia program SMART SBB Bernas Sungai Batu Pahat berkata, inisiatif ini banyak memberi manfaat kepada peserta.

Iklan

Menurutnya, ia bukan sahaja membantu dari segi aspek penyelarasan sistem pengurusan ladang secara berkelompok yang lebih efisien, malah turut membuka ruang ke arah pembangunan infrastruktur asas seperti sistem saliran air yang sering menjadi kekangan kepada pesawah khususnya di kawasan luar jelapang seperti di Sungai Batu Pahat ini.

Dari kiri: Nordin, Zulkefli dan Madzlan menyeru pesawah untuk sama-sama menyertai programSmart SBB.

"Program ini turut membantu para pesawah mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik. Impaknya dapat dilihat apabila penggunaan input-input pertanian seperti baja, racun dan sebagainya dapat dioptimumkan dan pembaziran dielakkan.

Iklan

"Ia secara keseluruhannya turut mengurangkan kos operasi pengurusan ladang berbanding ketika mereka mengusahakan sawah secara individu,” jelasnya.

Selain itu katanya, pesawah yang menyertai program ini turut didedahkan kepada amalan-amalan pertanian terancang bagi membentuk disiplin kerja yang lebih berkesan dan produktif.

Bernas turut membimbing mereka menerusi penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman, mengelakkan pembaziran input pertanian dan menghasilkan padi yang lebih bermutu.

"Saya melihat program SMART SBB sebagai satu peluang kerjasama strategik yang menguntungkan pesawah, malah menjadikan mereka sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan sektor padi dan beras di negara ini,” kata Nordin yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengusahakan sawah.

Salah seorang peserta program SMART SBB Bernas, Zulkefli Hussein, 53, pula menyifatkan program ini memberi jaminan pendapatan daripada penjualan hasil padi mereka.

"Penanaman padi sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko luar jangka terutamanya cuaca yang tidak menentu. Bagaimanapun, Bernas menjamin untuk membeli hasil tuaian kami dalam sebarang situasi dan ini tentunya satu kelegaan buat kami.

"Kami hanya perlu beri tumpuan kepada penjagaan sawah dengan baik. Alhamdulillah, walaupun ini merupakan fasa pertama projek, kami sudah dapat melihat peningkatan dari segi hasil dan kualiti padi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Madzlan Nadzar, 61, memberitahu SMART SBB turut memperkenalkan penggunaan teknologi terkini kepada peserta program.

SMART SBB Bernas di Sungai Batu Pahat, Perlis dengan keluasan tanah 49 hektar.

Dia dan pesawah lain akui amat teruja dengan teknologi dron yang digunakan kerana sebelum ini mereka melakukan kerja-kerja membaja dan meracun secara manual yang memerlukan lebih banyak penggunaan masa dan tenaga.

Menurutnya, penggunaan teknologi dron memberi hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat dan tanpa menggunakan tenaga seperti dahulu.

"Kerja kami menjadi lebih mudah dan kami turut mempunyai masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain.

"Saya harap ramai lagi pesawah, terutamanya di kawasan Sungai Batu Pahat akan turut serta menyertai program SMART SBB ini kerana banyak manfaat akan diperolehi,” ujarnya.

Sebagai salah sebuah syarikat peneraju SMART SBB, Bernas akan sentiasa memberi sokongan kepada pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi membimbing mereka dalam selok-belok pengurusan ladang yang lebih baik.

Kelebihan Smart SBB Bernas

Berpotensi tingkatkan hasil dan mutu padi keluaran tempatan.

Tanaman kurang risiko, elak pembaziran input pertanian, hasil padi lebih bermutu.

Teknologi terkini jadikan masa kerja lebih singkat, kurang guna tenaga.