Dua pemain debut Ireland tumbangkan 'Speedy Tigers'

Iklan
SKUAD hoki lelaki kebangsaan kecundang dalam perlawanan ujian pertama menentang Ireland dengan kekalahan tipis 3-2 menerusi jaringan daripada dua pemain debut lawan di Kelab Hoki Lisnagarvey, pada malam Selasa. -Foto Facebook MHC

[DIKEMASKINI] SKUAD hoki lelaki kebangsaan kecundang dalam perlawanan ujian pertama menentang Ireland dengan kekalahan tipis 3-2 menerusi jaringan daripada dua pemain debut lawan di Kelab Hoki Lisnagarvey pada malam Selasa.

Pasukan tuan rumah bermula garang menerusi jaringan padang Sam Hyland seawal minit kedua, sebelum Conor Empey menggandakan jaringan enam minit kemudian menerusi satu lagi jaringan padang, dengan kedua-dua pemain membuat penampilan pertama untuk Ireland.

Iklan
Iklan

Skuad ‘Speedy Tigers’ mengambil tempoh sehingga penghujung suku ketiga untuk bangkit apabila Mohd Azrai Aizad Abu Kamal berjaya meledak gol padang pada minit ke-45, sebelum pakar pukulan sudut, Muhammad Razie Abdul Rahim menyamakan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Bagaimanapun, Conor muncul wira pasukan yang menduduki ranking ke-14 dunia itu, apabila melengkapkan pukulan sudut penalti tiga minit sebelum wisel penamat (minit ke-57) ke atas Malaysia yang menghuni tangga ke-11 dunia.

Iklan

Ketua jurulatih negara, A Arulselvaraj mengakui anak buahnya perlu melakukan lebih banyak kerja ketika berada di dalam kawasan sendiri dan perlu bertahan dengan lebih baik, selain tidak membazirkan pukulan sudut penalti yang diterima.

"Saya agak kecewa dengan keputusan ini kerana kami mengawal permainan dengan baik dan kami dihadiahkan dengan lima pukulan sudut penalti berbanding Ireland yang hanya mendapat satu pukulan sudut penalti, tetapi berjaya menyudahkannya.

Iklan

"Dari segi peluang untuk menjaringkan gol juga kami mempunyai lebih banyak peluang berbanding Ireland dan kekurangan hari ini adalah dari segi pertahanan dan kekuatan untuk mengendalikan bola dalam kawasan kami sendiri,” katanya menerusi kenyataan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Bagaimanapun, menurut beliau pujian harus diberikan kepada pemain-pemain yang berusaha bangkit dalam perlawanan itu.

Sementara itu, penyerang kebangsaan Muhammad Firhan Ashaari bertekad untuk bangkit dalam pertemuan kedua menentang Ireland pada 2.30 pagi Khamis (waktu Malaysia) dengan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dalam aksi pertama.

"Untuk aksi hari ini kami tidak dapat mencapai kemenangan pertama menentang Ireland dan minit awal perlawanan kami ada melakukan kesilapan yang menyebabkan kami dibolosi dua gol awal.

"Secara keseluruhan kami mengawal permainan dengan baik, cuma kami perlu memperbetulkan setiap kesilapan yang dilakukan dan untuk aksi kedua kami akan berusaha mencari kemenangan serta bermain dengan lebih baik berbanding hari ini,” ujar Muhammad Firhan. - Bernama