SHAH ALAM - Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam membekalkan ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada usahawan baharu.
Pengarah Eksekutif Dewan Melayu, Rizal Jaapar berkata, kebanyakan peniaga dilihat gagal dalam langkah pertama memulakan perniagaan kerana kekurangan asas perniagaan meliputi tiga serangkai.
"Kalau tidak ada ilmu, pengalaman dan menggunakan modal yang dipinjam, banyak sebenarnya peniaga kita ini yang gagal di peringkat pertama lagi.
Bermula langkah, mereka sudah gagal.
"Bila kita melaksanakan sesuatu perkara khususnya dalam meniaga, pertama mesti ada ilmu.
Kedua, mesti ada pengalamannya, barulah gabungan kedua-dua ini boleh kita rangkumkan dan dijadikan sebagai satu sandaran meniaga,” katanya pada program Wacana Sinar edisi ke-295 bertajuk 'TVET: Emas Yang Terpinggir' menerusi platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ahmad Tajudin Jab dan Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan, Nordin Abdul Malek; manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, TVET menyediakan pelbagai latihan dan program bagi mempersiapkan graduan masa kini ke arah menjadi usahawan berjaya.
Ujarnya, persiapan sedemikian amat penting bagi mereka yang menceburi bidang keusahawanan kerana sekurang-kurangnya dapat mengelakkan mereka daripada sebarang kerugian.
"Begitu juga yang berlaku sekarang apabila kita melihat mereka-mereka yang gagal berniaga dan diisytiharkan bankrap pulak. Itu perkara yang terjadi.
"Jadi inilah perkara yang saya nampak boleh dimainkan peranan oleh TVET,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Usaha perkasa TVET perlu tindakan menyeluruh
ARTIKEL BERKAITAN:Kekurangan peruntukan bajet punca TVET terpinggir