Lima individu edar dadah guna kurier antarabangsa diberkas

Iklan
Abdul Aziz (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Kajang di sini pada Rabu. (Mohon blurkan bungkusan dan botol)

KAJANG - Polis menahan lima individu termasuk seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier dalam enam serbuan berasingan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada 24 September hingga 28 September lalu.

Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan), Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 71 tahun itu disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Hasil kerjasama dengan Biro Narkotik Pusat Singapura, kita percaya sindiket ini menjalankan aktiviti penyeludupan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier di Singapura untuk menghantar bungkusan berisi dadah ke negara Eropah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.9 juta di sebuah gudang di sini.

Iklan

"Kita merampas dadah jenis methamphetamine seberat 5.8 kilogram (kg), ketamin (14.8 kg), MDMA cecair 30.1 liter, MDMA serbuk (34.3 kg) dan kafein (2.2 kg)," katanya.

"Polis turut merampas beberapa peralatan memproses dan membungkus dadah selain menyita tiga kenderaan antaranya sebuah Toyota Hilux, Toyota Vellfire dan Honda City bernilai RM250,000 serta 11 akaun berjumlah RM426,926.56," katanya.

Iklan

Abdul Aziz berkata, kesemua suspek direman 12 hari bermula 25 September hingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.