Kerajaan perlu teliti bantuan untuk peniaga pasar tani, pasar malam

Iklan
Pasar malam. (Gambar kecil: Mohd Fared)

KOTA BHARU – Kerajaan negeri perlu meneliti kembali bantuan yang perlu diberikan kepada peniaga pasar tani dan pasar malam yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani berkata, langkah tersebut amat penting memandangkan bantuan ‘one-off’ disifatkan tidak memadai untuk membantu mereka ketika ini.

Iklan
Iklan

"Bantuan ‘one-off’ tidak membantu mereka sebab hanya sekali sahaja, sedangkan mereka sudah berapa lama tidak dibenarkan berniaga. Mereka juga ada komitmen bulanan yang perlu dibantu.

"Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak layak menerima bantuan-bantuan lain yang disediakan kerajaan dengan alasan mereka mempunyai lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sedangkan perniagaan yang diusahakan hanya secara kecil-kecilan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, pihaknya menerima banyak laporan dan rungutan mengenai pembukaan kembali sektor ekonomi melibatkan penjualan pasar tani dan pasar malam tersebut.

Beliau berkata, peniaga semakin terhimpit sedangkan sektor lain sudah mula beroperasi dari masa ke masa walaupun Kelantan masih lagi di fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Iklan

"Mereka (peniaga) ini mengadu mereka tidak mampu bertahan lagi. Kalau boleh mereka mahu kerajaan benarkan mereka beroperasi dengan kadar yang paling minimum sekali gus dapat menampung komitmen bulanan dan sebagainya.

"Kalau tidak dapat beroperasi pun, berilah mereka solusi lain supaya tidak terlalu terbeban dengan komitmen semasa. Bukan salah kerajaan sektor ekonomi tidak boleh dibuka, ia melibatkan angka semasa jangkitan Covid-19.

"Namun berilah mereka inisiatif lain untuk mengurangkan bebanan yang dipikul. Sekurang-kurangnya kita mendengar apa yang mereka luahkan dan bantu dengan kemampuan kita,” katanya.