PPS akan fungsi sebagai PPV

Iklan
PPS yang menempatkan mangsa banjir turut akan berfungsi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada individu yang belum lengkap proses vaksinasi. - Foto Bernama

SEREMBAN - Sekiranya berlaku kejadian banjir di Negeri Sembilan, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir turut akan berfungsi sebagai Pusat Pemberian Vaksin(PPV) kepada individu yang belum lengkap proses vaksinasi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, ia perlu bagi memastikan PPS berada dalam keadaan selamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persediaan telah dilakukan pihaknya bagi menghadapi Monsun Timur Laut dalam keadaan negara masih melawan pandemik Covid-19.

"Pengurusan banjir oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan (JPBNS) kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini memandangkan negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Iklan

"Jadi kita perlu memastikan setiap individu yang berpindah ke PPS mengambil vaksinasi sekali gus memastikan usaha kerajaan negeri mencapai imuniti kelompok tercapai," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Jelas beliau, jika ada mangsa banjir belum mengambil vaksinasi, mereka akan terus diberi tarikh janji temu melalui sukarelawan vaksinasi bergerak.

Iklan

Katanya, jika mangsa banjir mempunyai jadual vaksinasi ketika berada di PPS, mereka boleh menggunakan kemudahan berkenaan.

"Jika ada individu belum bersedia untuk menerima vaksin, kami cuba untuk menggalakkan mereka mengambilnya dan tiada paksaan kerana polisi kerajaan belum mewajibkannya.

"Apa yang pasti, kita tidak mahu wujud kluster di PPS dan tindakan kita adalah membuat ujian Covid-19 melalui Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 kepada mangsa banjir yang dipindahkan," jelasnya.

Selain itu Mohd Syukri berkata, dengan peralihan Negeri Sembilan ke Fasa 4 PPN, kesiapsiagaan semua agensi termasuk APM sendiri berada pada tahap 80 peratus terutamanya selepas kejadian ribut di Port Dickson beberapa hari lalu.

"Bagi APM sendiri, setakat ini kami mempunyai kekuatan 279 anggota manakala daripada segi aset, kami mempunyai 39 bot, lapan lori 5 tan, empat lori 3 tan dan tujuh kenderaan pacuan empat roda.

"Kita turut kenal pasti 82 kawasan lokasi panas kejadian banjir melibatkan 323 kampung atau taman perumahan membabitkan 24 lokasi di Seremban, 11 di Jelebu, tiga di Jempol, 10 di Tampin, tujuh di Rembau dan 14 di Port Dickson," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir supaya berpindah lebih awal sekiranya hujan lebat lebih dua jam.

Ujarnya, ia bagi mengelakkan kesesakan di PPS yang mana semua aset dan PPS terpaksa dihadkan kapasiti penggunaannya sebagai langkah berjaga-jaga bagi pencegahan Covid-19.