Kelas Bahasa Inggeris dan Jepun untuk polis di Pulau Pinang

Iklan
Gambar hiasan.

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang memperkenalkan kelas Bahasa Inggeris dan Jepun kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas di kawasan tumpuan pelancong di negeri itu, bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, inisiatif memperkenalkan kelas bahasa asing itu dijalankan dengan kerjasama beberapa pihak supaya dapat memberi layanan lebih baik kepada pelancong.

Iklan
Iklan

"Polis Pulau Pinang telah bekerjasama dengan Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang bagi menjalankan kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun dengan menggunakan kaedah ‘Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian’.

"Sebagai seorang pegawai dan anggota polis yang merupakan barisan hadapan perlu untuk kami menguasai kedua-dua bahasa asing itu, bagi memudahkan pelaksanaan penugasan harian mereka terutama di kawasan pelancongan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau ditemui selepas melancarkan Program Kemahiran Komunikasi Kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun Polis Pulau Pinang yang turut dihadiri Pengerusi CCPSS, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

Mohd Nasri berkata, kedua-dua kelas yang dijalankan hujung minggu selama dua jam bermula sejak 4 September lepas itu membabitkan kelas Bahasa Inggeris dilaksanakan selama lima minggu, manakala Bahasa Jepun pula selama 10 minggu.

Iklan

Katanya, seramai 40 anggota polis terlibat bagi kedua-dua kelas bahasa asing itu dan mereka didedahkan dengan teknik-teknik berkomunikasi secara interaktif, supaya dapat berkomunikasi dengan baik.

"Buat permulaan setiap kelas itu disertai 20 anggota polis dan ini adalah titik tolak permulaan kepada semua pegawai dan dan anggota di sini (kontinjen Pulau Pinang) untuk mempelajari serta meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa asing,” katanya.

Beliau berkata, kelas Bahasa Inggeris pernah diadakan untuk pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang sebelum ini, manakala bagi Bahasa Jepun merupakan kali pertama ditawarkan kelas kerana ia merupakan bahasa yang utama digunakan secara meluas di seluruh dunia serta digunakan oleh negara-negara maju dan berteknologi tinggi.

Menurutnya, kelas bahasa asing itu akan diteruskan pada masa hadapan dengan cara bersemuka, supaya lebih ramai pegawai dan anggota polis dapat menguasainya. - Bernama