KUALA LANGAT - Dua lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditemui lemas di Pantai Kelanang dan Pantai Morib di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Salleh berkata, mayat pertama ditemui di Pantai Kelanang pada jam 6.50 pagi dan mayat kedua pula ditemui di Pantai Morib, jam 9.30 pagi.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung dakwaan kira-kira 20 orang dipercayai PATI telah mendarat di Pantai Kelanang pada jam 6.50 pagi.
"Polis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya menahan enam wanita dan dua lelaki disyaki warga Indonesia yang cuba mendarat di sekitar perkampungan Kelanang dan kebun sawit berhampiran pantai.
"Kesemua tangkapan dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Mereka dipercayai memasuki perairan Malaysia melalui Tanjung Balai dengan bot tongkang yang dinaiki lebih kurang 40 orang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahmad Ridhwan berkata, menurut PATI yang berjaya ditangkap, ketika menghampiri pantai bot mereka dipukul ombak dan ribut, tekong bot meminta mereka turun dan berenang ke pantai.
Katanya, dua mayat lelaki itu dipercayai daripada kumpulan yang sama.
"Seramai 50 pegawai dan anggota polis PGA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara terlibat dalam operasi mengesan dan menangkap PATI serta Op mencari dan menyelamat mangsa lain yang mungkin lemas.
"Kesemua PATI yang ditangkap dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjong Sepat untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat," katanya.
Tambahnya, kesemua tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.