GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes pengurus teknologi maklumat (IT) warga Ireland yang ditemui mati di kondominiumnya dua hari lalu.
Kedua-duanya dipercayai rakan kepada si mati.
Lelaki berusia lingkungan 40-an dan wanita berusia 30-an itu ditahan tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat.
Difahamkan, lelaki berkenaan antara tiga lelaki bersama mangsa yang dilihat masuk ke kondominium berkenaan pada jam 9.57 malam, Jumaat lalu namun keluar semula beberapa minit kemudian.
Pergerakan itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) kondominium tersebut.
Dipercayai, polis kini sedang memburu seorang lelaki warga asing berkulit putih yang dipercayai suspek utama kes berkenaan selain penulis nota yang ditinggalkan di tempat kejadian.
Terdahulu, seorang lelaki warga Ireland ditemui mati di bilik kondominiumnya di MBF Tower, Jalan Sultan Ahmad Shah pada jam 5.15 petang, Isnin lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga Ireland mati dibunuh, suspek tinggalkan nota
Mayat Brian Patrick O’Reilly ditemui dalam keadaan tangannya diikat menggunakan tali kasut manakala kakinya diikat dengan kain di bilik utama kondominium berkenaan.
Mayat mangsa yang berusia 50 tahun itu juga didapati dalam keadaan berdarah dengan kesan kelar di leher dan tikaman di perutnya dipercayai dengan senjata tajam.
Kepala mangsa juga cedera dengan kesan hentakan menggunakan senjata tumpul dipercayai kuali.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat pemasaran yang berpengkalan di Singapura itu dipercayai telah meninggal dunia hampir 24 jam sebelum ditemui.
Kejadian disedari seorang agen hartanah yang gagal menghubungi mangsa untuk mendapatkan kunci pejabatnya bagi membaiki penghawa dingin.
Mangsa mendaftar masuk ke kediaman itu pada 4 Februari lalu dan rakaman CCTV mendapati, mangsa bersama tiga lelaki telah naik lif untuk ke tingkat 12 pada jam 9.57 malam, 1 Mac lalu namun keluar semula lima minit kemudian.
Rakaman CCTV juga menunjukkan, seorang lelaki warga asing berkulit putih keluar seorang diri dari kondominium tersebut dengan membawa beg pakaian pada keesokan harinya.