KUALA LUMPUR – Tempoh penawaran program pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia hampir setara dengan program akademik di luar negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain itu, tempoh terbabit turut bergantung kepada bidang pengajian yang ditawarkan di IPT terbabit.
"Berdasarkan kepada norma antarabangsa, tempoh pengajian sarjana muda adalah tiga tahun selepas sekolah menengah ataupun pra universiti.
"Bagi negara yang mempunyai sistem persekolahan 12 tahun, lepasan sekolah boleh terus menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda dengan tempoh pengajian minimum selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sebelum itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas- Muar) bertanyakan kepada Noraini berhubung cadangan bagi memendekkan tempoh pengajian di IPT di negara ini dengan merombak semula subjek seperti Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS).
Mengulas lanjut, Noraini menambah, penawaran kursus mata pelajaran am di IPT merupakan satu inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memperkukuh aspirasi falsafah pendidikan kebangsaan dalam melahirkan graduan yang holistik dan sejahtera.
"Selain daripada itu, kursus ini bagi melahirkan pelajar universiti yang dapat menghayati nilai-nilai patriotisme dan mempunyai semangat jati diri dalam menguasai kemahiran insaniah,” ujarnya.