SUNGAI SIPUT - Kebakaran Hutan Simpan Gunung Korbu merebak ke kawasan seluas 12 hektar berbanding lapan hektar, semalam.
Difahamkan, keadaan cuaca panas dan kering menjadi antara faktor api cepat merebak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pemantauan udara yang dilakukan pagi tadi mendapati, keluasan kebakaran adalah meliputi 30 peratus dari keseluruhan kawasan hutan simpan.
ARTIKEL BERKAITAN: Hutan simpan di Perak terbakar
Bagaimanapun menurutnya, kebakaran tidak menjejaskan pokok-pokok balak.
"Operasi pemadaman diteruskan sekitar jam 9.30 pagi tadi dengan menggunakan teknik bom air, setakat ini kebakaran hanya di kawasan pokok buluh dan renek, ianya tidak melibatkan pokok balak dalam hutan simpan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, meskipun kawasan terjejas semakin luas, keadaan masih terkawal.
Katanya, tinjauan menerusi laluan darat turut dilakukan, namun berdepan sedikit kesukaran kerana kedudukan bentuk muka bumi yang berbukit.
"Kawasan yang terjejas juga jauh dari laluan sedia ada dan dengan keadaan hutan tebal, kita juga berdepan ancaman binatang buas,” katanya.
Operasi pemadaman ini mendapat bantuan Jabatan Perhutanan dan polis serta unit khas MUSTeam (Multi Skill Team) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).