ALOR SETAR - Pemimpin UMNO dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat serta negeri di Melaka digesa mengetepikan kepentingan peribadi dan parti, sebaliknya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dalam menangani kemelut politik di negeri itu.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua parti juga diminta menghentikan segera politik toksik dan tidak mengheret seluruh rakyat Melaka ke dalam kancah politik melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi mengadakan PRN harus ditarik balik atas kepentingan nyawa rakyat.
"Pertelingkahan dalaman UMNO tidak sepatutnya mengheret rakyat terlibat dalam kancah politik di saat Melaka baru beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Pada hari ini, terdapat 9,380 kes baharu dilaporkan di seluruh negara daripada jumlah itu, 200 kes adalah di Melaka. Sepatutnya kepimpinan UMNO dan PN peka dengan kadar jangkitan Covid-19 yang menular ke seluruh negara sejurus diadakan PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.
Mukhriz berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan UMNO untuk mengadakan PRN di Melaka susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dari UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
"Adakah nyawa rakyat Melaka dan Malaysia hendak dipertaruhkan semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa kerajaan negeri?” soalnya lagi.
Sehubungan itu, katanya, semua pemimpin politik diminta kembali menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu suhu politik dikurangkan selain memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN:Bubar DUN Melaka: TYT Melaka didakwa ikut nasihat yang salah
ARTIKEL BERKAITAN:UMNO akui berdepan kesukaran pertembungan tiga penjuru