Sektor ekonomi, pelancongan Labuan lumpuh akibat Covid-19

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 memberikan implikasi negatif hingga melumpuhkan sektor ekonomi Labuan terutamanya industri pelancongan, kata Senator Datuk Bashir Alias.

Beliau berkata, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, Labuan mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM76 bilion pada 2019.

Iklan
Iklan

Malah, menurutnya, Labuan turut mencatatkan kemasukan pelancong domestik sebanyak 239.1 juta dengan perbelanjaan pelancongan domestik RM103.2 bilion.

"Harapan saya agar kerajaan memberikan tumpuan khusus untuk memulihkan semula ekonomi Labuan bagi memastikan ekonomi yang lumpuh dapat kembali beroperasi dengan aktif. Sokongan dalam bentuk saluran peruntukan dan polisi mesra amatlah diperlukan sebagai rangsangan ekonomi Labuan.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Bashir berkata, tumpuan terhadap pelancongan berasaskan pendidikan adalah satu segmen pasaran baharu dalam agenda memperkasakan ekonomi Labuan di samping menjadikan Labuan sebagai hab pendidikan yang perlu diberikan fokus utama kerajaan.

Iklan

"Saya mencadangkan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara seperti yang dijanjikan pada 2015 serta menaik taraf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan menjadi universiti penuh...kunjungan ibu bapa akan menambah pendapatan Labuan sekali gus menguntungkan industri pelancongan melalui tempahan bilik hotel, makanan dan kunjungan ke lokasi pelancongan di Labuan,” katanya.

Sementara itu, Bashir turut memaklumkan harga rumah kos rendah di Labuan adalah sekitar RM200,000 hingga RM250,000 dan ini di luar kemampuan golongan B40 untuk memiliki rumah apatah lagi dengan syarat pinjaman yang dikenakan bank agak ketat hingga menyukarkan golongan ini membuat pinjaman perumahan.

"Kenaikan harga rumah di Labuan kerana bahan pembinaan perlu diperoleh dari Sabah yang melibatkan kos logistik, ini menyebabkan bahan binaan menjadi mahal,” katanya.

Justeru, bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menggubal satu polisi yang selaras kepada pemaju untuk menyediakan garis maksimum harga rumah mampu dimiliki rakyat terutamanya di Labuan dan tidak hanya mementingkan keuntungan berlipat ganda.

"Kerajaan juga perlu mengehadkan pembaziran penggunaan tanah di Labuan sebaliknya dioptimumkan untuk melaksanakan projek rumah mampu milik dan menggubal polisi pinjaman yang mesra B40 bagi memudahkan golongan ini membuat pinjaman perumahan.

"Selain itu, wujudkan jawatankuasa khas menggabungkan agensi dan kerajaan termasuk pemain industri berkaitan dalam menyediakan rumah mampu milik bagi membolehkan kerangka perumahan yang jelas dapat dibina dan dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau juga mahu kadar sewa baharu Program Perumahan Rakyat di Batu Arang berjumlah RM250 sebulan dikembalikan pada kadar asal iaitu RM124 sebulan.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Rabu. - Bernama