Lihat sudut positif isu Shahrul Nizam

Iklan
Laporan Sukan Sinar 3 Oktober lalu. Gambar kanan: Azlan Johar

ISU pemain Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hani, yang terlepas peluang mewakili skuad Harimau Malaya gara-gara tidak melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan berdepan Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan (9 Oktober), perlu dipandang positif oleh semua pihak.

Penganalisis bola sepak, Azlan Johar berkata, kegagalan Shahrul Nizam untuk melaporkan diri adalah disebabkan masalah teknikal, terutamanya melibatkan masalah komunikasi yang menyebabkan dirinya tidak mengetahui dirinya mendapat panggilan untuk melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, perkara-perkara melibatkan masalah teknikal seperti itu seharusnya diperbaiki bagi memastikannya tidak berulang lagi pada masa hadapan.

"Bagi saya, Shahrul Nizam ni seorang pemain yang baik dan sudah semestinya dia mahu beraksi mewakili negara bagi melengkapkan perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.

Iklan

"Bagaimanapun, berlaku masalah teknikal ketika dia mendapat (panggilan) berkenaan sehingga menyebabkannya tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan kerana pada ketika itu dia ‘turun’ ke laut.

"Sebagai bekas pemain, saya bersimpati dengannya dan diharapkan perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Iklan

Untuk rekod, Shahrul Nizam merupakan antara tiga pemain baharu yang disenaraikan pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dalam kesebelasan Harimau Malaya Khamis lalu, bagi menggantikan pemain kacukan yang juga tonggak pertahanan, Dion Cools yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Shahrul Nizam tidak menyertai rombongan Harimau Malaya ke Jordan setelah tidak melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan Jumaat lalu dan menyaksikan hanya seramai 22 pemain di bawa bagi mengharungi dua aksi persahabatan berkenaan.

Mengulas lanjut Azlan berkata, ketika panggilan dibuat bagi memaklumkan panggilan kem skuad kebangsaan, Shahrul Nizam tidak dapat dihubungi kerana difahamkan dia turun ke laut.

Oleh itu katanya, tidak ada mana-mana pihak yang boleh dipersalahkan atas perkara ini kerana kesemuanya berlaku akibat masalah komunikasi.

"Kalau ikutkan, memang menjadi hak kepada ketua jurulatih untuk memanggil mana-mana pemain yang difikirkan sesuai dan layak untuk beraksi mewakili negara.

"Kita pun tak tahu, bila atau bagaimana dia tertarik untuk memanggil Shahrul Nizam; memungkinkan sebelum itu dia telah tertarik dengan corak permainannya, dan tertanya-tanya sama ada untuk memanggilnya (Sharul Nizam), atau tidak.

"Akhirnya, keputusan untuk memanggil Shahrul Nizam dibuat tetapi mungkin ia terlewat atau mungkin nasib tidak menyebelahinya kali ini untuk beraksi mewakili negara apabila tidak dapat dihubungi untuk dimaklumkan mengenai perkara tersebut,” katanya.

Mengenai kemungkinan Shahrul Nizam akan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kegagalannya melaporkan diri itu, Azlan berharap supaya pemain berkenaan tidak dikenakan hukuman.

Malah katanya, insiden berkenaan diharap dapat menjadi pengajaran dan juga pengalaman buat semua pihak agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Macam saya kata tadi, semua pihak perlu melihat dari sudut positif isu ini, kerana apa yang berlaku hanyalah akibat masalah teknikal.

"Lagi pun berdasarkan apa dilaporkan di media, Shahrul Nizam turun ke laut bagi membantu keluarga.

"Sekali gus, ini menunjukkan dia seorang anak yang bertanggungjawab dan atas sikap itu jugalah sudah pasti dia tidak akan melepaskan peluang atau menolak apabila mendapat panggilan untuk mewakili negara,” katanya.