HASRAT Harimau Malaya mencipta keputusan positif dalam perlawanan persahabatan menentang Jordan tidak kesampaian apabila dibelasah 4-0 di Stadium King Abdullah II, Amman malam tadi.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada 30 minit pertama berjaya mengekang asakan anak buah Adnan Hamad yang menguasai rentak permainan sebelum Ali Olwan meletakan tuan rumah di depan pada minit ke-34.
Iklan
Iklan
Gol berpunca keadaan kucar kacir di benteng Harimau Malaya dimanfaatkan sepenuhnya Ali yang menerima hantaran Ehsan Hadad untuk menewaskan Khairulazhan Khalid.
Jordan terus melebarkan jaringan selepas itu kali ini menerusi Odai Al-Saify pada minit ke-42 yang berpunca daripada masalah komunikasi antara kapten Aidil Zafuan Abd Radzak dan Khairulazhan yang gagal membaca bola hasil tandukan dari tengah padang oleh pemain Jordan.
Babak kedua tuan rumah menambah lagi tekanan buat pelawat apabila Ali berjaya memanfaatkan tandukan ke belakang oleh pertahanan, Muhammad Irfan Zakaria untuk gol pada minit ke-47.
Ali kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-49 apabila menyudahkan hantaran Mousa Suleiman untuk kemenangan 4-0 tuan rumah.
Skuad Cheng Hoe selepas ini akan berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Sabtu ini.