SEREMBAN - Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis menetapkan 11 November ini sebagai sebutan semula kes pelakon Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul.
Majisteret, Mohd Firdaus Salleh menetapkan tarikh itu selepas proses penyerahan dokumen selesai pada Khamis.
Menurut Peguam yang mewakili Zarina, Ahmad Faiz Munawar, prosiding kali ini hanya penyerahan dokumen sahaja.
"Kemungkinan tarikh 11 November itu untuk keputusan atau lanjutkan sekiranya keputusan tidak dapat dan dalam masa yang sama kita akan hantar repsentasi kepada Jabatan Peguam Negara," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Majisteret 1, di sini pada Khamis.
Pada 13 September lalu, Zarina didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine pada Jun lalu.
Bagaimanapun selebriti berusia 34 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mahyun Yusof.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zainul Hashimi.
Zarina yang memakai jubah hitam dan bertudung itu, sampai ke mahkamah pada jam 8.40 pagi, ditemani dua peguamnya, Ahmad dan Fadhli Sutris
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah sebelum ini membenarkan Zarina diikat jamin sebanyak RM2,000.
ARTIKEL BERKAITAN:Zarina Anjoulie didakwa kes dadah