BENTONG - Rakyat di Pahang diingatkan supaya tidak mengambil mudah terhadap prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 walaupun negeri tersebut beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau tidak menolak kemungkinan negeri itu boleh kembali ke fasa sebelumnya jika SOP tidak dipatuhi.
"Apabila beralih ke Fasa Empat bermula esok (Jumaat) terdapat banyak kelonggaran dalam sektor ekonomi, perniagaan, perhimpunan, sukan dan sebagainya
"Jadi, ini satu perkara amat bagus untuk Pahang terutama dari segi ekonomi kerana sekatan telah kurang.
"Bagaimanapun SOP, penjarakan fizikal, pemakaian pelindung muka tetap perlu dipatuhi. Kalau boleh, orang ramai elakkan pergi ke tempat yang sesak," katanya dalam sidang akhbar sempena pembukaan Jalan Central Spine (CSR) Jajaran Bentong di sini, pada Khamis.
Majlis perasmian projek berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada Rabu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan Pahang beralih ke fasa empat bermula Jumaat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Alhamdulillah, rakyat di Pahang hampir 90 peratus sudah mendapat dua dos suntikan vaksin Covid-19," kata Wan Rosdy.