Pita pelekat dipasang elak paya bakau diceroboh

Iklan
Pemasangan pita larangan pada pokok kayu bakau ketika tinjauan di sekitar Pantai Bumi Hijau, Sabak Bernam pada Khamis.

SABAK BERNAM - Pita larangan yang dipasang pada pokok kayu bakau sekitar Pantai Bumi Hijau di sini bukan disebabkan pembuangan sampah sarap, sebaliknya arahan kepada pengunjung supaya tidak menceroboh kawasan berkenaan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting, M Rosli Mohd Shahrani berkata, pemasangan pita itu dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bagi mengingatkan pengunjung supaya tidak mendirikan sebarang bahan binaan dan menebang pokok kayu bakau di pantai berkenaan.

"Sebenarnya tidak timbul isu pengunjung membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan ini kerana MPKK Banting bertanggungjawab bergotong royong mengutip sampah bagi memastikan pantai ini sentiasa kelihatan bersih," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iklan

M Rosli berkata, pihaknya juga menyediakan sebanyak lima tong sampah di kawasan pantai yang kini menjadi tarikan pengunjung terutama pada cuti hujung minggu.

M Rosli

"Kalau diikutkan, longgokan pelbagai jenis sampah seperti bekas plastik, botol kaca dan serpihan kayu dihanyutkan dari laut ke pesisir pantai.

Iklan

"Semua sampah lama dan kita sentiasa menitik beratkan aspek kebersihan dan meminta pengunjung membuang sampah di tempat sepatutnya," katanya.

Jelas beliau, Pantai Bumi Hijau ketika ini sesak dengan kehadiran pengunjung yang ingin melihat sendiri keindahan pemandangan di pantai berkenaan.

Katanya, kawasan yang turut mendapat kerjasama baik daripada MPKK Sekendi itu semakin dikenali selepas pelbagai aktiviti dijalankan di kawasan terlibat sejak tahun lalu.

"Pada awalnya, kawasan pantai ini semak-samun, tetapi kami mengambil inisiatif melakukan pembersihan kawasan ini sebagai salah satu daya tarikan pengunjung," katanya

M Rosli berkata, pihaknya berharap kawasan pantai itu dapat dinaik taraf dan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan baharu di daerah berkenaan.

"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk setempat melalui pembukaan gerai makanan dan penginapan inap desa," ujarnya.