KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) kecewa dengan tindakan sebilangan wakil rakyat dan pemimpin politik yang terus 'menunggang' nama rakyat demi menghalalkan matlamat politik peribadi.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, contoh terbaharu adalah kemelut politik di Melaka sehingga jatuhnya kerajaan negeri ketika negara belum keluar daripada pandemik Covid-19.
"Keadaan politik di Melaka adalah terjemahan keadaan politik rakus di peringkat persekutuan dengan perseteruan antara dua parti Melayu iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Hakikatnya, Bersatu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menguburkan UMNO. Oleh itu, perseteruan ini sewajibnya dinoktahkan dengan mengamalkan politik matang dan berlapang dada," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penyatuan parti-parti politik orang Melayu adalah penting agar episod hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak berulang.
Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu menghindarkan diri daripada menghamburkan kata-kata menyakitkan hati parti lain.
"Keadaan mencemuh dan menunding jari kepada parti lain menunjukkan ketidakmatangan politik.
"Walaupun sebilangan besar mereka adalah pemimpin berpengalaman warga emas, rakyat terutama pengundi baharu bakal menghukum pemimpin sebegini," katanya.
Tambah beliau, DPIM juga menyeru agar semua pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk kekal fokus dalam usaha membendung wabak Covid-19 yang masih belum reda.
"Kita masih berada dalam lingkungan 9,000 hingga 10,000 kes harian. Jangan diulang kesilapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mencetuskan gelombang besar ketiga Covid-19 di negara kita.
"Fikirlah keadaan rakyat yang kini tersepit dan terhimpit," katanya.