Dua seksyen di Jajaran Bentong dibuka Khamis

Iklan
Fadillah(dua,kiri) bersama Wan Rosdy (tengah) dan Salehuddin (kiri) selepas melakukan lawatan di Jajaran Bentong pada Khamis .

BENTONG - Kesesakan trafIk khususnya ketika musim perayaan bakal dapat diatasi dengan pembukaan dua lagi Seksyen Jalan Central Spine (CSR) iaitu Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik di Bentong dan Seksyen 5D Pintasan Bentong secara rasmi bermula pada Khamis.

Jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (Lebuhraya Pantai Timur) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga yang berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang dan laluan tersebut diwartakan menjadi Jalan Persekutuan 34 (Jalan Central Spine) dengan jajaran dibuka pada Khamis sepanjang 22.3 kilometer menjadikan jumlah keseluruhan Jajaran CSR dibuka kepada pengguna adalah sepanjang 89.25 kilometer.

Iklan
Iklan

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedua-dua seksyen bernilai RM631.98 juta itu ialah sebahagian daripada keseluruhan projek CSR bebas tol sepanjang 306.8 kilometer antara Kuala Krai, Kelantan hingga persimpangan LPT di Bentong bernilai RM7.3 billion.

"Peruntukan projek CSR di Pahang dari Gua Musang hingga ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Karak sudah ada dan sebahagian projek sudah siap serta ada yang sedang dalam pembinaan. Cuma yang tinggal bagi pakej di Bentong ini adalah jalan sambungan ke Negeri Sembilan dan seterusnya ke Johor yang dipanggil Pakej Enam.

Iklan

"Ada satu isu lagi iaitu di Pintasan Benta di atas kehendak Ahli Dewan Negeri (ADUN) kawasan tersebut. Hal ini kami perlu selesaikan dengan UPU (Unit Perancang Ekonomi) untuk mendapat peruntukan tambahan. Projek telah berjalan cuma daripada jalan utama masuk ke pekan Benta perlu diselesaikan," katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian CSR membabitkan dua seksyen Jajaran Bentong.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak.

Iklan

Kata Fadillah, projek berkenaan secara keseluruhannya akan siap pada tahun 2026 namun semuanya bergantung kepada keadaan dan situasi semasa.

Fadillah berkata, setakat ini sepanjang 69.75 kilometer laluan Jalan Central Spine telah siap sepenuhnya bagi negeri Pahang.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menyifatkan projek berkenaan banyak memberikan manfaat kepada rakyat termasuk dari luar Bentong.

"Ia juga memberikan kemudahan kepada anak-anak yang menetap di luar Pahang kerana boleh menjimatkan masa perjalanan untuk balik terutama ketika musim perayaan," katanya.