Berjasa mohon perkenan Agong isytihar darurat di Melaka

Iklan
Berjasa memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar proklamasi darurat di Melaka. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytihar proklamasi darurat di Melaka.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad berkata, ini bagi membolehkan penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga ke tarikh yang sama apabila Dewan Rakyat dibubarkan di peringkat Persekutuan kelak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga bagi memastikan segala rencana pergerakan di seluruh negeri dapat diseragamkan termasuklah aspek prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong juga amat penting bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Iklan

"Parti Berjasa Malaysia mengikuti rapat perkembangan politik di negeri bersejarah Melaka. Gelora politik di Melaka ini boleh disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap rakyat oleh pemimpin yang tamak kuasa.

"Negara baharu sahaja menarik sedikit nafas kelegaan melihat angka kes positif yang semakin hari semakin menurun dan peratusan vaksinasi dalam kalangan rakyat semakin meningkat.

Iklan

"Dalam keadaan negara menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi ini adalah amat tidak munasabah untuk melaksanakan PRN yang akan menatijahkan pergerakan luar kawalan dalam negeri dan juga bakal melibatkan pengundi luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, bukan itu sahaja, antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kos untuk mengadakan PRN yang tentunya akan melibatkan peruntukan tinggi bagi memastikan pematuhan terhadap SOP.

"Adalah lebih baik wang ini diberikan kepada rakyat yang susah dan memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, Hazwan berkata, Berjasa mencadangkan agar penubuhan sebuah Majlis Tindakan Negeri yang dilantik secara terus oleh Seri Paduka Baginda untuk menjalankan kuasa eksekutif pemerintahan negeri Melaka.

Menurutnya, Majlis Tindakan Negeri ini boleh dilantik dari kalangan 70 peratus golongan profesional dan selebihnya ahli politik daripada semua parti.

"Mereka perlu menjalankan tugas sehingga ke satu tarikh pembubaran Dewan Rakyat seterusnya memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

"Cadangan ini adalah munasabah untuk memastikan keselamatan rakyat secara keseluruhannya dan agenda pemulihan negara pasca Covid-19 dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.