Selangor ambil tindakan tatatertib penjawat awam enggan divaksin

Iklan
Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tatatertib ke atas penjawat awam di negeri ini yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya menerima nasihat dan taklimat oleh Penasihat Undang-Undang Selangor pada Rabu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Amirudin berkata, bentuk tindakan berkenaan masih belum ditentukan oleh pihak jawatankuasa dan akan diputuskan dalam tempoh seminggu.

"Kita akan mengambil tindakan tatatertib kepada penjawat awam yang secara sengaja atau tidak mahu divaksin.

Iklan

"Kita perlu melaksanakan kewajipan kepada penjawat awam dan mahu mereka dilindungi kecuali mereka tidak boleh mengambil vaksin atas faktor kesihatan dan nasihat pakar," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada Khamis.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pentadbir masjid dan penolong pendaftar nikah di negeri ini yang sebelum ini dilaporkan enggan menerima vaksin Covid-19.

Iklan

Ahad lalu, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opis memaklumkan hukum penggunaan vaksin adalah harus dan wajib diambil oleh golongan ditetapkan kerajaan.

Ketetapan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2021 yang bersidang pada 9 Februari lalu dan turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.