PETALING JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengatasi isu projek perumahan berstatus lewat siap termasuk projek kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jawatankuasa itu antara lain bertujuan memudahkan pemantauan dibuat secara lebih dekat selain menjalankan pendekatan baharu untuk menyelamatkan projek terbabit.
"Dulu modelnya tidak solid (padu) dan sustainable (mampan), kerana PR1MA menggunakan pendekatan 'bulk purchases' (pembelian pukal), menyebabkan risiko hanya ditanggung PR1MA apabila rumah tidak dapat dijual.
"Model sekarang menggunakan konsep berkongsi risiko antara tuan tanah dan pemaju," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau turut menegaskan, semua projek PR1MA masih diteruskan dan berjalan serta tidak terbengkalai seperti yang sering didakwa sebaliknya berstatus lewat siap.
"Saya difahamkan ada 17 (projek PR1MA lewat siap). Insya-ALLAH di bawah pendekatan baharu ini kita akan pastikan kaedah untuk menyelamatkan projek PR1MA ini dilaksanakan sebaik mungkin.
"Insya-Allah saya akan panggil semua ahli Parlimen yang mana kawasan dia terlibat untuk kita lihat dan akan beri laporan berkala berkenaan perkembangan projek rumah PR1MA ini," katanya.
Reezal Merican sebelum itu menyerahkan kunci kepada sembilan penerima Rumah IKRAM Keluarga Malaysia di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang Dua, di sini.
Katanya, seramai 124 orang penerima kumpulan pertama telah ditawarkan kediaman itu secara berperingkat sejak 4 Oktober dan 55 daripada jumlah itu ialah ketua isi rumah wanita.
Katanya, kumpulan kedua penerima rumah tersebut dijangka bakal menerima kunci bermula 15 Oktober ini. - Bernama