PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan ayam dan telur di pasaran mencukupi.
Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menerusi kenyataannya memaklumkan dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan Oktober 2021 adalah sebanyak 64.9 juta ekor.
"Bagi pengeluaran telur ayam pula, dianggarkan melebihi 1 bilion biji sebulan.
"Berdasarkan data tersebut, pengeluaran ayam dan telur ayam adalah mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaanpengguna," kata kenyataan itu pada Khamis.
Bahagian penguatkuasaan itu berkata, bagi memastikan bekalan ayam dan telur ayam mencukupi, beberapa tindakan proaktif telah dilaksanakan KPDNHEP.
"Antaranya membuat pemantauan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam secara komprehensif, menjalinkan kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong dan peruncit," katanya.
Ujarnya, pihaknya juga turut membuat pemantauan bekalan secara berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula sejak 22 September lalu.
"Pemantauan bekalan terhadap 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang ini turut dilakukan sejak Mei lalu.
"KPDNHEP juga sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah dan 1,039 pemborong terpilih daerah secara harian yang meliputi 222 Parlimen dan 576 DUN di seluruh negara," katanya.